Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
YTL nafi tapak simen di Sentul jejas kawasan sekitar
Diterbitkan:  Feb 23, 2019 5:59 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

YTL Corp menafikan dakwaan tapak simen di Sentul menjejaskan kawasan sekitar serta mengakibatkan debu.

Syarikat itu mengulas desakan penduduk sekitar yang tidak berpuas hati apabila DBKL hanya mengeluarkan notis perintah berhenti kerja sementara selama 14 hari dan mahu tapak tersebut dipindahkan.

Jurucakap YTL Corp dalam kenyataan berkata, sepanjang tapak itu beroperasi, pihaknya tidak pernah melanggar mana-mana peruntukan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Pengeluaran udara daripada kilang dipantau empat kali setahun dan keputusannya dihantar kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS). Pantauan terakhir pada 7 Disember 2018 jelas menunjukkan ia mematuhi piawaian oleh JAS.

"Malah kajian menunjukkan tahap pencemaran yang disebabkan trafik di kawasan sekitar lebih tinggi berbanding (tahap pencemaran) dari tapak simen itu," kata jurucakap YTL Corp dalam kenyataan hari ini.

Pada 22 Februari lalu, Malaysiakini melaporkan dakwaan Ketua cabang PKR Bukit Bintang, N Shanmugam bahawa DBKL tidak mengendahkan saranan penduduk agar tapak itu dipindahkan.

Sekumpulan penduduk Sentul juga menyerahkan memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan agar campur tangan dalam isu itu.

Antara sebab mereka membantah operasi tapak itu adalah ia tidak selamat dan menjejaskan lima buah sekolah yang terletak dalam radius kurang 100 meter daripadanya.

Terdahulu, Shanmugan juga berkata operasi tapak itu, terutama lori yang menggunakan jalan raya sekitar, mengancam keselamatan penduduk terutama pelajar sekolah.

YTL Corp tidak mengulas secara khusus tentang dakwaan itu dalam kenyataannya.

Dalam pada itu, syarikat itu berkata pihaknya telah menghantar rayuan untuk membatalkan notis perintah berhenti kerja kepada DBKL.

"Kami sentiasa percaya kepada dialog dan perbincangan, dan menyelesaikan isu secara baik.

"Kami akan meneruskan hubungan baik dengan DBKL dan pihak terlibat dan yakin DBKL tidak akan mudah terpengaruh dengan dakwaan tak berasas, dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk membatalkan notis mereka dengan kadar segera," kata jurucakap syarikat itu lagi.

Berita berkaitanPenduduk kecewa DBKL hanya arah tapak simen dihenti sementara

Lihat Komen
ADS