Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tol akan diambil alih satu-persatu, kata Azmin
Diterbitkan:  Feb 25, 2019 8:47 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Pengambilalihan tol akan dibuat kerajaan secara berperingkat dan mengambil waktu, maklum Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Beliau mengulas pertikaian Timbalan Presiden yang menjalankan tugas presiden Umno Mohamad Hasan tentang kenapa kerajaan tidak turut mengambil alih syarikat konsesi lebuh raya milik Plus Malaysia Berhad (Plus).

“Ye lah, satu persatulah. Kamu (wartawan) kata tadi beban kewangan besar.

“Kamu pun, jangan percaya Umno sangat. Bila kita ambil alih empat (syarikat konsesi) dia kata kita tak ada kemampuan. Kemudian nak suruh ambil satu lagi? Jadi? Mana satu ni?” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas Ceramah Isu-isu Semasa di tapak padang permainan Pangsapuri Fasa 6 di pusat daerah mengundi (PDM) Bandar Tasek Kesuma malam tadi.

Kata Azmin, soal pengambilalihan tersebut bukannya baru seminggu dibincang, sebaliknya telah dibincangkan sejurus PH mengambil alih kerajaan daripada BN, termasuk hal-hal lain yang termaktub dalam manifesto pilihan raya PH.

“Kerana ini manifesto, jadi kita bincang dalam kabinet dan ini adalah proses yang mengambil masa.

“Apabila saya hendak mengambil alih syarikat air di Selangor (ketika menjadi menteri besar), itu pun mengambil masa hampir sepuluh tahun.

“Sebab kena fikir implikasi kewangan, soal perjanjian yang telah ditandatangani, sebab itulah ia memerlukan satu proses rundingan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamad yang mempersoalkan motif di sebalik langkah kerajaan mengambil alih syarikat konsesi yang dimiliki oleh Gamuda Bhd (Gamuda).

Menurut Mohamad, adalah lebih wajar jika kerajaan mengambil alih Plus yang sahamnya dimiliki oleh Khazanah Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, berbanding Gamuda yang dimiliki pihak swasta.

Malah, Mohamad turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menyatakan jumlah yang digunakan bagi mengambil alih kepentingan tersebut.

Caj kesesakan lalu lintas

Mengulas hal itu, Azmin menjelaskan perkara itu tidak dapat dilakukan kerana perkara tersebut masih dalam perbincangan.

“Ini (masih) dalam rundingan. Bagaimana mungkin kamu dedahkan maklumat perbincangan sedangkan perbincangan itu belum habis?” Soalnya.

Semalam, kerajaan mengumumkan telah memulakan proses rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang mempunyai pegangan syarikat terbabit.

Pengambilalihan tersebut adalah bagi menghapuskan mekanisme kutipan tol sedia ada dan kerajaan akan memperkenalkan caj kesesakan (congestion charge). 

Melalui perkiraan caj tersebut, pengguna lebuh raya dikenakan caj yang sama dengan kadar tol sekarang pada pada waktu puncak selama enam jam sehari.

Bayaran tol untuk waktu di antara 11 malam dan 5 pagi pula dihapuskan.

Lebuh raya yang terlibat dalam rancangan pengambilalihan itu ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Lihat Komen
ADS