Usia bukan menjadi penghalang buat Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran untuk mencipta rekod peribadi apabila buat pertama kali mendaki sekali gus berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter dari aras laut pada usia 61 tahun.
Berbekalkan keazaman dan iltizam untuk merasai sendiri pengalaman mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, Kula Segaran tidak patah semangat meskipun menempuhi pelbagai cabaran termasuk sakit otot dan mengalami Penyakit Akut Gunung (AMS) kerana ketinggian altitud.
Kula Segaran merupakan antara peserta Program Pendakian Gunung Kinabalu anjuran Kelab Eksplorasi Global Malaysia yang memulakan pendakian pada Sabtu dan sampai ke puncak gunung pada awal pagi semalam.
Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan, Kula Segaran berkata mendaki Gunung Kinabalu begitu mencabar daripada apa difikirkannya, namun, keletihan mendaki sehingga ke puncak gunung sangat berbaloi dengan keindahan alam flora dan fauna terdapat di tapak warisan dunia itu dan membuatkan beliau ingin sekali lagi mendaki gunung berkenaan.
“Setelah turun dari puncak gunung, saya berasa pening. Memang sangat mencabar, tetapi Gunung Kinabalu sangat cantik. Jika saya ada masa, saya akan mendaki Gunung Kinabalu sekali lagi,” katanya di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam pada itu, Kula Segaran turut menggalakkan pelajar dan golongan belia di negara ini untuk mengambil bahagian menyertai aktiviti mendaki Gunung Kinabalu apatah lagi bayaran dikenakan sangat berpatutan.
Beliau berkata aktiviti seumpama itu juga mampu memberi pengalaman luar biasa dan berharga kepada para pendaki selain platform meningkatkan kesihatan serta kecerdasan badan untuk lebih produktif.
“Ini adalah aktiviti positif boleh dilakukan. Kita tidak perlu pergi jauh (untuk mendaki gunung) kerana kita ada Gunung Kinabalu yang lebih mencabar dan menyajikan pemandangan sangat cantik,” katanya.
- Bernama
