Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno jarak diri dari Nazri isu kenyataan sek Cina, Tamil
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 8:14 AM
Dikemaskini: 12:14 AM

Kenyataan Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz tidak mewakili parti dan cuma pandangan peribadinya, kata Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Umno Mohamad Hasan.

"Pendirian beliau tersebut adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili pendirian dan pandangan Umno.

"Umno, sebagai sebuah parti sangat menghormati dan memahami keperluan sekolah vernakular di Malaysia. Umno berpendirian sekolah jenis ini perlu terus wujud di negara kita.

Malaysiakini memetik Nazri berkata kaum bukan Melayu tidak patut mempertikaikan hak keistimewaan Melayu kerana ia boleh mendorong kaum Melayu mempersoalkan keistimewaan kaum bukan Melayu seperti desakan menutup sekolah aliran Cina dan Tamil.

Selepas dikritik kerana kenyataannya, Nazri menjelaskan beliau tidak menggesa penutupan sekolah aliran Cina dan Tamil mendakwa media salah petik kenyataannya.

Untuk rekod, Malaysiakini tidak melaporkan Nazri menggesa mahu menutup sekolah aliran Cina dan Tamil untuk ditutup.


BERKAITAN: Nazri: AG, CJ, menteri kewangan tak percaya kitab, agama kita


Menurut Mohamad "persefahaman dan keupayaan meraikan kepelbagaian" telah menjadi kelebihan dan kekuatan BN, malah ketika gabungan itu berkuasa dahulu.

"Umno dan BN sebagai sebuah parti politik sentiasa komited dalam mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian bangsa dan etnik di Malaysia termasuklah hak untuk beragama dan mendapat pendidikan yang selayaknya. Inilah karakter dan ciri-ciri penting negara kita yang majmuk.

"Semasa menguruskan kerajaan sebelum ini sekalipun, komitmen serta pendirian Umno dan BN berhubung sekolah vernakular dapat dilihat dengan jelas sama ada dalam bentuk sokongan infrastruktur, pengiktirafan dan pemberian peruntukan yang diperlukan," katanya lagi.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamed Fuzi Harun mengesahkan Nazri sedang disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang jika disabitkan pertuduhan, pelaku kesalahan pertama boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali

"Saya dah cakap tadi kita akan siasat bawah Akta Hasutan dan kita perlu lengkapkan (siasatan) secepat mungkin.

"Jadi lengkap nanti kita akan hantar ke DPP (Timbalan Pendakwaraya di Pejabat AG) untuk tindakan lanjut ataupun arahan selanjutnya," katanya.

Lihat Komen
ADS