Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tentera Pakistan tembak jatuh 2 pesawat India
Diterbitkan:  Feb 27, 2019 6:05 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

GLOBAL | Pakistan melakukan serangan udara dan menembak jatuh dua pesawat India pada Rabu, sehari selepas pesawat India melakukan pengeboman di wilayah Pakistan, pertama kali sejak perang pada tahun 1971, yang menyebabkan negara-negara besar lain menggesa kedua-dua negara mengelakkan konflik.

Ketegangan meningkat sejak pengeboman bunuh diri oleh militan yang berpangkalan di Pakistan terhadap wilayah Kashmir yang dikuasai India dan membunuh sekurang-kurangnya 40 anggota separa polis India pada 14 Februari.

Namun risiko konflik semakin meningkat pada Selasa apabila India melancarkan serangan udara di lokasi yang didakwa pangkalan latihan militan, lapor Reuters.

Serangan mensasarkan Jaish-e-Mohammed (JeM), kumpulan yang mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bunuh diri itu.

India berkata sejumlah besar pejuang JeM terbunuh, tetapi pegawai Pakistan mengatakan serangan itu gagal dan tidak menyebabkan kecederaan.

Pesawat udara India merempuh ruang udara Pakistan pada Rabu selepas Pakistan melakukan enam serangan udara di Kashmir yang dikuasai India, kata  jurucakap angkatan tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghaffor.

"Ini bukan tindakan balas dalam erti kata sebenar, tetapi untuk memberitahu bahawa Pakistan mempunyai keupayaan, kita boleh melakukannya, tetapi kita mahu bertanggungjawab, kita tidak mahu ketegangan, kita tidak mahu perang," katanya memberitahu sidang akhbar.

Salah satu pesawat jatuh di wilayah Kashmir di India, sementara pesawat kedua dijatuhkan di wilayah Pakistan dengan dua juruterbang ditangkap, katanya.

Pada taklimat itu, Ghafoor menunjukkan senjata dan dokumen yang didakwa dibawa oleh juruterbang India.

Akaun Twitter rasmi kerajaan Pakistan mengeluarkan video yang dikatakan menunjukkan salah seorang juruterbang India dari pesawat yang telah ditembak jatuh.

Dalam satu kenyataan berasingan, kementerian luar Pakistan berkata ia telah mensasarkan lokasi "bukan ketenteraan" di wilayah Kashmir yang dikuasai India, tetapi mengelakkan berlaku pertumpahan darah dan kemusnahan.

Lihat Komen
ADS