Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mensasarkan kutipan yang lebih tinggi dari sasaran kerajaan iaitu RM150 bilion pada tahun ini.

Menurut, Menteri Kewangan Lim Guan Eng, beliau difahamkan bahawa Pengerusi Lembaga Pengarah LHDN Badri Mohd Zahir yang juga ketua setiausaha perbendaharaan amat yakin dengan kemampuan LHDN untuk mendapatkan kutipan tinggi tahun ini.

Beliau berkata, kementerian kewangan sebelum ini menyasarkan kutipan yang perlu dikutip oleh LHDN bagi tahun ini adalah RM147 bilion, iaitu sebanyak 7.27 peratus peningkatan berbanding tahun lalu.

"Ini berdasarkan keyakinan KSP (ketua setiausaha perbendaharaan) terhadap LHDN dan juga terhadap pertumbuhan ekonomi.

"Ini kerana sekiranya kita menjurus ke arah pertumbuhan 4.9 peratus, ia juga harus disusuli dengan tambahan kutipan cukai yang sewajarnya," katanya pada sidang media ketika diminta mengulas mengenai peningkatan tersebut.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada Hari Hasil 2019 di Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya hari ini.

Sementara itu, Lim berkata sehingga bulan Januari tahun ini, kerajaan telah membuat pembayaran semula cukai pendapatan sejumlah RM1.64 bilion.

Ia merupakan daripada jumlah RM37 bilion bayaran balik yang diumumkan sebelum ini.

"Pada tahun lalu, kerajaan telah berjanji untuk menyelesaikan kesemua baki bayaran balik cukai pendapatan pada tahun 2019 yang telah bermula sejak bulan Januari.

"Justeru itu, saya berharap agar proses pembayaran balik ini dapat dilakukan dengan segera sejurus peruntukan bayaran balik diterima oleh LHDNM," katanya.

Lihat Komen
ADS