Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM144.2 juta dalam suku keempat 2018 berbanding kerugian RM5.4 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya.

Utusan berkata, kerugian lebih tinggi itu dicatatkan selepas mengambil kira peruntukan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebanyak RM47.1 juta, rosot nilai penghutang sebanyak RM37.2 juta serta rosot nilai hartanah, loji dan peralatan sebanyak RM25.5 juta.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, kumpulan itu merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM186.7 juta berbanding kerugian RM7.5 juta bagi tahun 2017, lapor Utusan Malaysia.

“Kerugian lebih tinggi yang direkodkan ini berikutan penurunan pendapatan sebanyak 21 peratus dan peningkatan kos operasi sebanyak 50 peratus.

“Ini termasuk peruntukan VSS sebanyak RM81.1 juta serta rosot nilai penghutang serta hartanah, loji dan peralatan keseluruhannya berjumlah RM66 juta,” menurut kenyataan kumpulan itu.