Paling Popular
Terkini

Peguam terkemuka Muhammad Shafee Abdullah mendakwa Peguam Negara Tommy Thomas bercakap tidak serupa bikin berhubung pendirian mengenai kebebasan bersuara.

Shafee mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yag memberikan kebenaran kepada Tommy untuk mengheretnya ke mahkamah atas tuduhan menghina mahkamah.

Bagaimanapun, Shafee menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan berikar untuk mencabar tindakan itu.

Beliau memberikan contoh bahawa Thomas sebelum ini menentang apabila peguam dalam kes berkaitan SRC meminta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah larangan (gag order).

"Kami mahukan gag order untuk menghalang sesiapa mengulas mengenai perkara itu, terutama mengenai merit, sama ada Najib atau saya atau sesiapa yang bersalah atas tuduhan itu. Kami meminta (gag order) dan kami memperolehnya daripada Hakim Mohd Sofian (Abd Razak). Tapi peguam negara yang menentangnya.

"Jika anda masih ingat, dia (Thomas) datang ke mahkamah dan mengatakan ini adalah sebuah negara bebas dan memiliki kebebasan bersuara.

"Dia menggunakan perkataan 'kita tidak mahu menjadi kerajaan yang menindas'," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang ini.

Thomas cuba mengheret Shafee atas dakwaan menghina mahkamah berhubung komen-komennya dalam sebuah video yang disiarkan KiniTV.

Peguam itu membuat komen itu selepas Najib dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram pada 7 Feb.

Menyifatkan tindakan Thomas sebagai "melucukan", Shafee mempersoalkan bagaimana ucapannya boleh dianggap sebagai menghina sedangkan beliau hanya mengulas mengenai prospek kesnya.

Peguam itu menambah beliau hanya menjawab soalan wartawan mengenai kes itu.

"Dia (Thomas) memilih untuk mengambil tindakan terhadap saya mengenai satu kenyataan, yang diberikan hasil soalan dari wartawan seperti juga sekarang. Jika tidak silap, (soalannya) apakah prospek mengenai kes saya.

"Dan saya mengatakan ini dengan berhati-hati: 'Jika anda beri saya seorang hakim yang jujur, jika anda berikan saya saksi yang tidak berbohong, jika anda beri saya bukti yang tidak direka, saya mempunyai peluang yang baik untuk menang'.

"Malah, saya kata saya memiliki prospek yang baik untuk menang. Bagaimana ini boleh dikatakan menghina," katanya.

Shafee berkata beliau tidak sabar untuk menerima dokumen mengenai prosiding penghinaan itu kerana mahu melihat "bagaimana bebasnya' Malaysia Baru seperti disebut sebelum ini oleh peguam negara.

Shafee menambah beliau tidak gentar terhadap prosiding itu dan mendakwa tidak pernah melakukan perbuatan yang tidak menghormati mahkamah.

Lihat Komen
ADS