Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guan Eng: Projek terowong bawah laut diberi ikut tender terbuka

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata projek terowong bawah laut yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar Butterworth dianugerahkan melalui tender terbuka dan tidak melibatkan rasuah dalam pemberian projek itu kepada pemaju.

"Bagaimana ada rasuah jika ia diberikan melalui tender terbuka? Kes itu juga telah disiasat (oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan tiada tindakan diambil, semuanya dilakukan di bawah kerajaan terdahulu," kata Lim kepada wartawan di Pulau Pinang hari ini.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, kerajaan negeri sudah menjelaskan projek terowong bernilai RM6.3 bilion yang telah dianugerahkan kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd itu, secara terperinci.

Beliau mengingatkan semula saman yang difailkannya terhadap Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan, yang membuat dakwaan serupa terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun, Nasrudin menyuarakan kekesalan dan membayar pampasan kepada Lim sebanyak RM10,000.

"Anda perlu ambil kira kes mahkamah dan dia bayar wang itu, ada cek. Ini adalah pembohongan (oleh Raja Petra) yang ditujukan kepada empat ahli exco lain di Pulau Pinang.

"Anda tahu siapa ahli exco yang lain, tidak masuk akal. Saya tidak tahu apa jenis pembohongan (Raja Petra) yang ingin dibuat tetapi patutkah kita melayan pembohongan itu?.

"Pembohongan ini bertujuan untuk merosakkan nama saya dan empat anggota exco, kerajaan negeri dan Pakatan Harapan juga," tambahnya.

Lim diminta mengulas siri tulisan blogger kontroversi Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan isu terowong bawah laut di blognya, yang dikatakan disertakan dengan kertas siasatan SPRM yang dibocorkan.

Berikutan itu, Nasrudin dipetik di Harakah Daily membangkitkan beberapa soalan mengenai projek itu.

"Berapakah jumlah sebenar kos projek, adakah ia ditender secara terbuka dan sekiranya ia adalah tender terbuka, sila dedahkan perincian tender tersebut.

"Apa sebenarnya terma-terma yang dipersetujui antara pemaju dan LGE, termasuk perjanjian pertukaran lot-lot tanah di lokasi strategik Pulau Pinang

"Kemukakan latar belakang pemaju dan semua rakan kongsi yang terlibat. Adakah mereka pihak yang berpengalaman dan berkemampuan untuk melaksanakan projek dengan skala ini?" soalnya.

Nasrudin berkata rakyat berhak mendapat penjelasan kerana SPRM telah menyiasat kes berkenaan projek itu selama lebih daripada setahun.

Lim juga mengingatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad telah menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkan Raja Petra sebagai pembohong.

Katanya, laporan polis juga telah  dibuat mengenai perkara itu.

Lihat Komen
ADS