Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nazri tak patut jadi 'zon perang' - Rahman
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 12:35 PM
Dikemaskini: 4:40 AM

Anggota Majlis Tertinggi (Umno) Abdul Rahman Dahlan menegur Setiausaha Agung BN Nazri Aziz supaya lebih diplomatik dan berhemah menangani isu-isu parti gabungan tersebut.

“Kalau mahu menangani sesuatu isu BN, bincangkan dulu dengan kepimpinan Umno. Minta pandangan.

“Kalau tidak, suara setiausaha BN tidak mewakili suara Umno,” ujarnya.

Nazri semalam menyelar cadangan MCA dan MIC untuk meneroka pembentukan sebuah parti gabungan baru tanpa Umno.

Katanya, perkara itu hanya akan menjadi pengakhiran kepada masa depan politik kedua-dua parti itu.

MCA dan MIC semalam mengeluarkan kenyataan bersama untuk meneroka perikatan politik baru, antaranya disebabkan kenyataan pemimpin-pemimpin Umno yang didakwa mereka berbaur perkauman.

Menulis di Facebooknya hari ini, Rahman berkata sebagai setiausaha agung BN, Nazri tidak sepatutnya bersikap demikian.

“Setiausaha agung BN sepatutnya seorang pendamai, moderator dan penimbang tara.

“Bukannya seorang provokator atau seorang antigonis! Dia mesti menjadi zon penampan dan bukan zon perang,” ujar Dahlan.

Lihat Komen
ADS