Anggota parlimen Sri Aman Masir Kujat meletakkan jawatan sebagai anggota Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB).

PSB sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP), parti serpihan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

PRS ialah sebuah parti dalam gabungan pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Saya percaya PSB ialah parti pelbagai kaum yang sebenar dan berupaya menyatupadukan kaum di Sarawak.

"PSB merupakan parti tempatan yang bebas dan boleh bersuara bagi semua warga Sarawak, tanpa mengira kaum dan agama," katanya melalui kenyataan, seperti dilaporkan Utusan Borneo.

PSB ialah parti yang mesra dengan gabungan pemerintah. Malah terdapat usaha untuk memasukkan PSB ke dalam GPS, walaupun terdapat bantahan hebat SUPP.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Demokratik Progresif (PDP), SUPP dan PRS.

Beberapa pemimpin dan bekas pemimpin PRS telah mengikuti jejak langkah Masir dengan melompat ke PSB, termasuk anggota parlimen Selangau Joseph Entulu Belaun dan bekas anggota parlimen Lubok Antu William Nyallau Badak.

Kedua-dua wakil rakyat itu sebelum ini dipecat oleh PRS tidak lama selepas pilihan raya umum ke-14.

Rekrut baru itu PSB itu akan bertemu dengan presiden parti itu Wong Soon Koh di Kuching hari ini.

PSB turut mendukung Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg walaupun mereka bukan sebahagian daripada gabungan parti pemerintah.

[Baca berita asal]