Kelantan minta pusat bina Lebuh Raya Rakyat
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali menjelaskan kerajaan Kelantan membuat permohonan supaya kerajaan pusat mengambil alih semula projek Lebuh Raya Rakyat yang dibatalkan sebelum ini.
Menurutnya, pihak kementerian sedang meneliti permohonan kerajaan negeri supaya kerajaan persekutuan mengambil alih Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 km dari Bukit Tiu ke Berangan Mek Nab di Machang.
"Kita tidak mahu bebanan kewangan dan implikasi perundangan tidak dibebankan kepada kerajaan persekutuan.
"Satu jawatankuasa sedang berbincang antara kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya berhubung perkara itu," katanya kepada media di Kota Bharu, hari ini.
Semalam, Azmin memaklumkan projek yang dimulakan pada zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu terpaksa dibatalkan apabila syarikat yang mendapat kontrak melaksanakannya tidak mampu untuk meneruskan pembinaan lebuh raya sejauh 10km itu.
Kata Azmin projek tersebut menelan belanja sebanyak RM200 juta.
Untuk rekod, pada 2017 kerajaan Kelantan mengumumkan sebanyak RM3.2 juta dikumpul menerusi Tabung Akaun Amanah Lebuh Raya Rakyat yang diwujudkan sejak lima tahun sebelum itu.
Dana tersebut dipungut bagi membiayai pembinaan lebuh raya berkenaan.
Bagaimanapun projek yang asalnya dijadualkan siap pada Mac 2018 itu dibatalkan kontraknya atas persetujuan bersama antara pemaju iaitu Jambatan Kedua Sdn Bhd dan kerajaan negeri.
Difahamkan, projek tersebut kemudian diserah kepada kerajaan persekutuan yang ketika itu ditadbir BN untuk diteruskan.
Sementara itu Azmin berkata, MTNg Kelantan memutuskan supaya Jabatan Kerja Raya (JKR) meneliti cadangan kerajaan negeri itu.
"Kita tak mahu wujud disconnet kerana Lebuh Raya Rakyat ini berada di pertengahan projek Central Spine Road dan tidak munasabah sekiranya kita menyiapkan projek CSR tanpa mengambil pertimbangan projek Lebuh Raya Rakyat yang terbengkalai atas inisiatif kerajaan negeri kelantan sebelum ini," jelasnya.
Tegas Azmin lagi, dengan komitmen kerajaan persekutuan untuk mewujudkan pembangunan komprehensif khususnya yang memberi impak besar kepada rakyat Kelantan ini harus disambut dengan berlapang dada oleh kerajaan negeri.
"Ini kerana akhirnya hasrat kita ialah untuk mengetepikan fahaman politik kepartian.
"Kerajaan negeri dan persekutuan bersama-sama bertanggungjawab untuk membangunkan negeri dan memberi kemakmuran kepada rakyat Kelantan," katanya.

