Kementerian Pendidikan nafi dakwaan Kosppem
Kementerian Pendidikan hari ini menafikan dakwaan Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang kononnya 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara diancam kehilangan pekerjaan.
Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, dakwaan Kosppem itu tidak berasas sama sekali dan sengaja mahu mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa akan mengkaji syarat dan kriteria tender bagi memastikan kementerian khususnya pihak sekolah mendapat perkhidmatan terbaik selaras dengan dasar mengoptimumkan sumber kewangan kerajaan ketika ini.
“Seperti pernah diamalkan pada masa lalu, kementerian menambah baik format tender bagi tahun ini dengan mengambil kira keluasan kawasan, bilangan blok bangunan, jumlah aras keseluruhan bangunan dan bilangan kubikal tandas di setiap sekolah berbanding norma terdahulu yang hanya berdasarkan enrolmen pelajar dan keluasan bangunan.
“Sehubungan itu, kementerian ingin menegaskan penyertaan kontraktor dalam tender-tender kerajaan adalah mengikut harga yang ditawarkan dengan spesifikasi yang ditetapkan, bukannya bertujuan mengurangkan pekerja yang digunakan oleh syarikat yang memperoleh kontrak,” jelas kementerian itu menerusi kenyataan berkenaan.
Baru-baru ini, Yang Dipertua Kosppem Pahang, Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad mendakwa, kira-kira 45,000 pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah mungkin hilang pekerjaan jika Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baru tahun ini.
Kata beliau, format itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan pekerjaan.
Dalam pada itu, menurut kementerian, menjadi tanggungjawab majikan - iaitu syarikat yang mendapat kontrak - untuk memastikan kebajikan pekerja mereka terus terjamin dan dipelihara.
Jelas kementerian itu, tidak adil untuk menganggap Kementerian Pendidikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pekerja yang diambil bekerja oleh syarikat yang mendapat tawaran kontrak daripada kementerian memandangkan penyertaan dalam tender adalah mengikut harga ditawarkan.
“Kami sekali lagi ingin menegaskan penawaran kontrak baru yang akan dibuat pada masa terdekat bagi perkhidmatan pembersihan adalah berdasarkan kepada skop dan spesifikasi yang dipersetujui syarikat dilantik dan Kementerian Pendidikan.
“Sebagai kementerian bertanggungjawab, kami tidak pernah menganiayai mana-mana pihak.
"Kementerian juga prihatin ke atas kebajikan pekerja terbabit. Oleh itu sekali lagi kerajaan menasihatkan syarikat yang bakal memperoleh kontrak kerja pembersihan agar turut memastikan kebajikan pekerja masing-masing dijaga,” kata kenyataan itu.

