Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih sedih ahli politik turun ke tahap paling rendah

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann mengingatkan ahli politik agar tidak menggunakan cara berpolitik taraf rendah semata-mata bagi mencapai kemenangan.

Memetik contoh kenyataan beberapa pemimpin BN yang menggunakan isu kaum dan agama dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) di Semenyih, Thomas menyifatkan cara berpolitik seumpama itu sebagai ‘taraf randah’ dan tidak bertamadun.

“Pemangku presiden Umno, Mohamad Hassan berkata dalam Dewan Rakyat ada terlalu banyak ‘penumpang’.

“Sedih sekali apabila sehingga ke hari ini, setelah enam dekad kita hidup sebagai satu bangsa, masih ada rakyat yang digelar penumpang.

“Saya rasa sangat menyedihkan apabila ahli politik sanggup merendahkan tahap mereka ke taraf serendah ini semata-mata bagi memenangi undi, kerusi dan kuasa,” katanya.

Mohamad Hassan 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih di Petaling Jaya, hari ini.

Katanya, lebih daripada kesalahan undang-undang, tindakan menggunakan elemen kaum dan agama dalam berkempen telah menimbulkan kecurigaan sesama rakyat.

Tambah Thomas, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya, sama ada melalui Akta Pilihan Raya ataupun Kanun Keseksaan bagi membendung amalan politik sedemikian.

Pada 28 Februari, dalam ceramah perdana bersama Umno-PAS, Mohamad dilaporkan berkata bahawa “orang Melayu dijadikan berasa seperti pelawat di negara sendiri kerana terlalu banyak penumpang di parlimen”.

Ucapan itu menurut Bersih, merupakan kesalahan menyebarkan perasaan jahat atau permusuhan antara kaum di bawah seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Dalam kempen PRK Semenyih, lapan kesalahan penggunaan kaum dan agama direkodkan oleh Bersih, semuanya dilakukan oleh BN.

Lihat Komen
ADS