Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Semenyih: 34 kesalahan pilihan raya, PH - 21, BN -13

Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih merekodkan kesalahan pilihan raya tertinggi dalam semua enam PRK yang dijalankan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Hal itu didedahkan gabungan pemantau pilihan raya Bersih 2.0 dalam satu sidang media hari ini, berdasarkan Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann, kesalahan paling tinggi dilakukan oleh Pakatan Harapan sebanyak (21 kes) dan BN (13 kes) manakala satu lagi kes dilakukan oleh pihak yang tidak dikenali.

“Kami kecewa, di sebalik usaha memberi kesedaran tentang kesalahan pilihan raya yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) dan kumpulan seperti Bersih, parti-parti politik terus melanggar undang-undang.

“Adakah kerana mereka rasa jika mereka langgar undang-undang sekalipun, tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka?” katanya kepada pemberita di pejabat Bersih di Petaling Jaya.

Kata Thomas, biarpun pesalah yang melanggar undang-undang pilihan raya boleh dikenakan tindakan denda dan penjara, tidak banyak kes seumpama itu dihadapkan ke mahkamah.

“Setakat ini, kami lihat sikit sangat kes yang ke mahkamah. Malah, saya tak ingat jika ada yang ke mahkamah selepas PRU-14, kecuali yang melibatkan pengosongan kerusi seperti di Cameron Hihglands.

“Kami tertanya-tanya, adakah sebab mereka (parti politik) rasa tiada tindakan akan diambil jika mereka langgar peraturan, maka sebab itu mereka terus melakukan kesalahan?” soalnya.

Daripada 35 kesalahan yang direkod oleh laporan pemerhatian teesebut, lapan melibatkan pengaruh tidak wajar (oleh PH), lima melibatkan pemberian hadiah atau penjamuan makanan (oleh PH), dua kes keganasan, intimidasi dan gangguan (satu oleh PH dan satu oleh BN).

Tiga lagi kes direkodkan untuk kesalahan penggunaan kaum dan agama dalam kempen (kesemuanya oleh BN), dan 17 masalah yang timbul pasa hari mengundi termasuk masalah ‘pondok panas’ (lapan oleh PH, dan sembilan oleh BN).

Kedua-dua calon lain yang bertanding iaitu Parti Sosialis Malaysia dan calon bebas Kuan Chee Heng didapati tidak melakukan apa-apa kesalahan pilihan raya. 

Lihat Komen
ADS