Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ismail Sabri 'lembut' sebagai ketua pembangkang, kata penganalisis

Pelantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai ketua pembangkang yang baru mendapat reaksi yang barcampur-campur dari kalangan penganalisis politik.

Khamis lalu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang mengumumkan pelantikan itu berkata, Ismail Sabri dilantik kerana berkas menteri itu paling kanan berbanding anggota parlimen lain.

Penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir menyatakan keraguan terhadap kemampuan Ismail Sabri untuk menonjol sebagai ketua pembangkang.

"Sebab tugas ketua pembangkang ini bukan mudah. Kena lantang, berani, pantas berfikir, berwibawa, dan ketokohan luar biasa.

"Jadi di situ agak bermasalah (bagi Ismail Sabri)," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Jeniri Amir

Jeniri berkata, kebolehan seseorang pemimpin pembangkang berhujah dalam Dewan Rakyat penting agar orang ramai dapat melihat BN mampu memainkan peranan sebagai pemerhati dan menjadi elemen semak dan imbang.

"Tanggungjawab itu di bahu Ismail Sabri," katanya.

Jeniri juga menambah bahawa sekiranya suara pembangkang lebih lemah daripada pemimpin PH, pembangkang akan 'tenggelam' dan tidak mampu membentuk naratif untuk rakyat.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya ahli Umno memberi tunjuk ajar dan sokongan yang tak berbelah bagi, Ismail Sabri mempunyai potensi untuk menyerlah sebagai ketua pembangkang.

Beri peluang

Bagi penganalisis politik Ahmad Atory Hussain pula, Ismail Sabri merupakan "yang terbaik" Umno mampu tawarkan.

"Dari segi rank (kekananan), Ismail Sabri. Kalau kira Annuar Musa lagi pandai bercakap. Dia boleh saja ambil Nazri Abdul Aziz, atau Tajuddin Abdul Rahman, tapi mereka ahli majlis tertinggi saja," katanya.

Ahmad Atory Hussain

Atory berkata, Ismail Sabri lebih lembut dalam bersuara seperti Mohamad, dan kedua-dua pemimpin Umno itu tidak terlibat dalam kontroversi yang boleh menjejaskan parti mereka.

Justeru, katanya, Ismail Sabri berhak diberi peluang untuk memainkan peranan sebagai ketua pembangkang.

"Buat masa ni, bagi peluang lah pada dia. Ahli-ahli Umno bagi sokongan kepada Ismail Sabri jadi naib presiden. Bukan mudah nak jadi naib presiden," katanya.

Tambah Atory, Ismail Sabri perlu bersedia kerana menurutnya, rakyat akan merujuk kepada ketua pembangkang untuk mendapatkan komen dan maklum balas tentang dasar kerajaan.

"Peranan ketua pembangkang sangat penting. Dia sentiasa dirujuk dan sentiasa memberi ulasan dan pandangan terhadap dasar-dasar kerajaan.

"Rakyat memerhati benda ni. Mereka nak dengar pandangan ketua pembangkang. Ini penting," kata Atory.

Mohd Azizuddin Mohd Sani

Seorang lagi penganalisis politik, Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia melihat sifat lembut Ismail Sabri dalam berbicara merupakan satu kelebihan.

"Dia (Ismail Sabri) lebih soft-spoken. Tak banyak kontroversi. Banyak bercakap dasar dan soal agenda Melayu. Dia tidak confrontational. Dia lebih kepada perundingan dan debat yang sihat.

"Perwatakan dia agak bersahaja tapi tegas dalam isu-isu yang berkaitan dengan isu rakyat. Saya nampak dia boleh bawak untuk mengetuai parlimen," katanya.

Bagaimanapun, Azizuddin mencadangkan agar Ismail Sabri perlu mengemukakan kabinet bayangan agar pembangkang dalam melakukan semak dan imbang dengan lebih berkesan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS