'Kecaman untuk alih perhatian dari tuntutan utama'
Penganjur perarakan sempena Hari Wanita Antarabangsa semalam sekali lagi menegaskan lima tuntutannya selepas menerima pelbagai reaksi berikutan kehadiran penyokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam acara itu.
Di sebalik isu moral yang dibangkitkan beberapa pihak, penganjur berkata, perarakan Hari Wanita Antarabangsa semalam bertujuan untuk:
• Menamatkan semua keganasan berdasarkan jantina dan orientasi seksual.
• Menghapuskan perkahwinan kanak-kanak.
• Memastikan hak dan kebebasan wanita untuk membuat pilihan atas tubuh badan dan nyawa mereka sendiri.
• Memastikan gaji minimum RM1,800.
• Menghapuskan sikap patriarki dan membina demokrasi tulen di semua peringkat masyarakat.
Semalam lebih 300 orang berkumpul di pusat bandar Kuala Lumpur untuk berarak sempena hari wanita, termasuk ahli komuniti LGBT dan penyokong mereka.
Walaupun ada teriakan "jangan kacau LGBT" dan "hidup LGBT" semasa demonstrasi itu, ucapan dalam perarakan itu memberi tumpuan kepada lima tuntutan utama.
Kehadiran komuniti LGBT dalam himpunan itu turut dikritik beberapa ahli politik termasuk Menteri agama, Mujahid Yusof dan Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad.
Dalam satu kenyataan hari ini, pihak penganjur berkata semasa perarakan itu terdapat pelbagai suara mewakili kebimbangan wanita dari seluruh Malaysia.
"Ini termasuk wanita dari Sarawak yang meminta akses yang sama kepada penjagaan kesihatan ibu, dan berkongsi kisah tragis Kam Agong yang diabaikan mendapatkan rawatan selepas melahirkan anak kelapannya," katanya.
Pihak penganjur berkata tuntutan utama tersebut diketepikan oleh media dan pengritik, sebaliknya perhatian diberikan dengan mensasarkan kehadiran peserta LGBT.
Pihak penganjur mengingatkan bahawa adalah menjadi tugas kerajaan mempertahankan prinsip asas keadilan khususnya bagi mereka yang terpinggir dalam masyarakat.
Kumpulan itu berkata kerajaan tidak boleh memilih untuk menjalankan tugas hanya kepada kumpulan wanita tertentu, tetapi mesti melaksanakannya kepada semua individu tanpa mengira kaum, umur, keupayaan, lokasi, jantina atau seksualiti.
"Ini termasuk bukan sahaja perempuan lesbian, biseksual, interseksual, khunsa dan transeksual, tetapi juga wanita tulen, wanita muda, pekerja domestik wanita, wanita kurang upaya, wanita luar bandar, wanita bujang, wanita heteroseksual dan banyak lagi," katanya.

