Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

KATA ADUN | Saya telah membuat satu carian pada Google di laman web MCA dan mendapati perkataan “Taliban” muncul sebanyak 138 kali dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pemimpin parti berkenaan.

Perkataan itu digunakan MCA dalam usaha mereka untuk melabelkan PAS dan Umno sebagai Taliban, sama ada secara langsung ataupun secara tersirat.

Sebagai contoh, pada 6 Sept 2016, bekas presiden MCA Liow Tiong Lai menyatakan Kedah di bawah zaman pemerintahan BN mengamalkan kesederhanaan, dan beliau tidak percaya dengan cara “Taliban” - merujuk kepada kerajaan Umno pada masa itu. [Lihat di sini]

Pada 27 Feb 2015, pengerusi Pasukan Petugas Khas Undang-undang Syariah dan Pelaksanaan Polisi MCA, Gan Peng Sieu, mengeluarkaan kenyataan mengecam tindakan Umno Terengganu untuk memalukan Muslim yang tidak menghadiri solat Jumaat.

Kata MCA langkah kerajaan negeri itu menggambarkan pelaksanaan undang-undang agama Taliban di negara kita.

Ia juga dilihat langkah mengaibkan secara terbuka (public shaming) yang pernah dilakukan ada zaman kegelapan Eropah. [Lihat di sini]

Pada 18 Okt 2017, Jurucakap Publisiti MCA Ti Lian Ker mengatakan pengiktirafan Shahul Hamid sebagai pendakwah bertauliah oleh exco agama Pulau Pinang sangat melucukan dan menunjukkan bahawa kerajaan negeri ingin memancing undi Taliban setelah PAS meninggalkan mereka. [Lihat di sini]

Pada 6 Mac 2017, Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA Ng Shiok Hwa melabelkan cadangan kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakan hukuman merotan secara terbuka adalah seperti pelaksanaan undang-undang Taliban di Afghanistan. [Lihat di sini]

Pada 18 Julai 2016, Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ng Chok Sin mengatakan: "Seperti rejim Taliban atau negara-negara Islam, PAS mahu mengawal sepenuhnya kehidupan seharian penduduk dan melangkaui isu-isu sebenar yang mempengaruhi negara." [Lihat di sini]

Kesemua kenyataan di atas hanyalah sebahagian kecil daripada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pemimpin MCA untuk melabelkan PAS dan Umno seperti rejim Taliban.

Rakyat Malaysia juga tidak akan lupa apabila MCA menabur duit dengan membuat iklan semasa PRU ke-11 (pada 2004) yang memaparkan dua gambar patung Buddha dirobohkan dengan perkataan: “Afghanistan – Patung Buddha yang dirobohkan oleh rejim Taliban” dan menyeru masyarakat Cina mengundi BN. [Lihat di sini]

Adakah Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki akan mengarah semua pemimpin MCA menarik balik kesemua kenyataan rasmi mereka yang melabelkan PAS dan Umno sebagai Taliban dan meminta maaf secara terbuka?


CHONG ZHEMIN ialah Setiausaha Publisiti DAP Perak merangkap Adun Keranji.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS