Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kadir: Najib tahu masanya kian suntuk
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 11:51 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Biarpun Dr Mahathir Mohamad didakwa terkejut dengan sambutan hangat kempen Malu Apa Bossku oleh Najib Razak, namun bagi tokoh wartawan, A Kadir Jasin, ia tidak lebih sekadar 'santapan terakhir untuk seorang banduan akhir'.

“Najib tahu masanya sudah suntuk, jadi dia sedang memanfaatkan (masa yang tinggal) sehabis baik yang dia mampu,” kata penasihat komunikasi dan media kepada perdana menteri dalam hantaran terbaru blognya hari ini.

Menurut Kadir, aksi jalanan (street-peddling stunt) Najib itu hanya akan lebih memburukkan imej Umno dan BN di mata rakyat.

“Dalam sembilan bulan selepas kekalahan 9 Mei (tahun lalu), Umno ada tiga presiden - Najib, Ahmad Zahid Hamidi dan kini Mohamad Hasan sebagai pemangku presiden.

“Kalau boleh, mereka (Zahid dan Mohamad) pun tidak mahu Najib menyibuk dalam pentadbiran mereka.

“Malu Apa Bossku bukan untuk membaiki imej Umno, tapi untuk mempromosi dirinya (Najib) sendiri dalam kalangan golongan Melayu-muda-berkapcai,” katanya.

Tambah Kadir, biarpun rakyat semakin tidak sabar melihat perbicaraan mahkamah meleret yang melibatkan Najib dan rakan subahatnya, undang-undang perlu dibiarkan berjalan mengikut proses sepatutnya.

“Semakin lama Najib bebas mengejek undang-undang, semakin rakyat melihat keadilan seolah-olah berpihak kepada golongan kaya dan berpengaruh. Lebih-lebih lagi jika dia didapati tidak bersalah.

“Tapi, undang-undang perlu dibiarkan melalui prosesnya. PH tidak boleh buat apa yang Najib buat pada musuhnya dan institusi kerajaan.

"Dia tidak ralat melacurkan undang-undang demi kepentingannya,” tambah Kadir.

Sementara itu, bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu berkata, memasuki tempoh setahun pemerintahan, PH akan berdepan pemerhatian lebih tajam daripada rakyat, media dan pihak pelabur.

Bagi melepasi ujian keyakinan tersebut, katanya, PH perlu manambah baik teknik penyampaian maklumat, malah mungkin perlu mempertimbangkan untuk menyusun semula atau memecat beberapa watak dalam kerajaan.

“Plot dan naratif perlu difahami dan boleh dipercayai oleh rakyat. Pemegang wataknya mesti dihormati. Tak ada ruang untuk badut atau karakter komik (dalam kerajaan),” katanya lagi.

Tambah Kadir, bagi mencapai tujuan itu, semua pihak - baik menteri, menteri besar atau ketua menteri - perlu bermuhasabah diri, malah jika perlu, mengkritik diri sendiri.

"Jangan cepat sangat menyalahkan media dan rakyat sekiranya cerita tentang kereta terbang membuatkan kerajaan dilihat sebagai tidak cekap, angkuh dan pelik.

“Berjalan ke hadapan, PH mesti kerja keras dan bijak untuk memenuhi aspirasi rakyat dan buktikan bahawa PH bukan kerajaan sepenggal. Ia mahu terus tinggal (menjadi kerajaan),” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS