PARLIMEN | Presiden BN dan Umno Datuk Seri Zahid Hamidi tidak hadir ke istiadat pembukaan penggal kedua parlimen ke-14 di ibu negara hari ini.

Ketua whip BN Mahdzir Khalid mengesahkan perkara itu tetapi tidak mendedahkan sebabnya.

“Dia tak datang,” kata Mahdzir ketika ditanya pemberita.

Ketika ditanya sebabnya, Mahdzir berkata Zahid yang sedang bercuti itu tidak dapat dihubungi.

“Tak, tak dapat dihubungi la,” katanya.

Mahdzir Khalid 

Peranan Zahid di parlimen juga semakin berkurangan selepas naib presiden Umno yang juga anggota parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob dilantik menggantikannya sebagai ketua pembangkang.

Sesi hari ini dibuka dengan ucapan perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Ini merupakan ucapan sulung Seri Paduka sejak dilantik ke jawatan itu pada 31 Januari tahun ini.

Persidangan kali ini dijangka menarik dengan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung langkah kerajaan untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan hak asal Sabah dan Sarawak.

Parlimen juga mencipta sejarah apabila anggota parlimen Orang Asli pertama Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands) mengangkat sumpah pada Selasa.

Sesi kali ini akan bersidang selama 20 hari sehingga 11 April.