Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
M'sia destinasi transit pengganas sebelum ke negara lain - Polis
Diterbitkan:  Mar 11, 2019 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Polis percaya jaringan pengangkutan udara yang baik di negara ini menjadi antara faktor kumpulan pengganas masuk ke Malaysia dan menjadikan ia sebagai destinasi transit sebelum ke negara lain.

Timbalan Ketua Polis Negara, Noor Rashid Ibrahim bagaimanapun berkata kemampuan tinggi Polis Diraja Malaysia dalam pelbagai aspek membolehkan pasukan itu mengesan dan memintas sebarang pergerakan kumpulan pengganas.

“Lapangan terbang di negara kita dibuka kepada semua penerbangan jadi senang orang luar untuk masuk ke sini dan saya percaya mereka ambil kesempatan untuk menyusup masuk. Tambahan pula mereka tengok di sini boleh berkumpul tanpa diganggu.

“Tapi mereka perlu ingat, kita sentiasa pantau pergerakan mereka. Kita sentiasa peka dan memantau semua kegiatan yang berlaku di negara ini dan ada kemampuan tinggi untuk pintas semua aktiviti pengganas dan apabila berjaya dikesan kita akan tangkap dan tahan mereka bagi mengelakkan berlaku sesuatu yang serius,” katanya kepada pemberita di ALor Setar, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan sembilan individu termasuk dua warga tempatan disyaki menjadi anggota kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang beroperasi di Utara Afrika.

Komunikasi guna cara lain

Mengulas mengenai penahanan itu, Noor Rashid berkata anggota kumpulan terbabit yang ditahan di lokasi berasingan berkemungkinan menggunakan email dan ‘underground mail’ sebagai cara untuk berkomunikasi bagi mengelakkan mereka daripada dikesan polis.

“Mereka guna cara yang berlainan untuk berkomunikasi. Tetapi, di pihak polis siapa yang kita percaya boleh jadi ancaman kepada keselamatan negara akan ditahan kerana mereka tidak boleh dibiarkan bebas kerana bimbang akan mempengaruhi orang lain.

“Selain itu, PDRM juga mempunyai jaringan kerjasama yang baik dengan negara-negara lain antaranya Jepun dan Amerika Syarikat dalam memantau aktiviti berkaitan keganasan bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, PDRM telah membuat tangkapan ke atas enam warga Mesir, dua warga tempatan dan seorang warga Tunisia antara 2 hingga 9 Feb lalu dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang dan Sarawak.

Katanya, tangkapan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada agensi perisikan asing mengenai kehadiran suspek ‘Foreign Terrorist Fighter’ yang menjadi anggota kumpulan pengganas Ansar Al Shariah Al- Tunisia yang beroperasi di Utara Afrika.

- Bernama

Lihat Komen
ADS