Kini heboh diperkatakan mengenai kemungkinan Berita Harian pula mungkin mengikuti jejak langkah akhbar New Straits Times (NST) yang berubah wajah menjadi sebuah tabloid.

Akhbar berbahasa Malaysia Berita Harian mungkin terpaksa mengikut jejak langkah akhbar New Straits Times (NST) yang berubah wajah menjadi sebuah tabloid. Inilah tajuk perbincangan semasa, khususnya di kalangan masyarakat media di negara ini.

Menurut mereka, NST memilih bentuk tabloid bagi menangani masalah kejatuhan pengedaran dan juga pendapatan daripada iklan, tetapi lain pula halnya dengan Berita Harian .

Mereka yang berpengalaman dalam bidang penerbitan akhbar itu berkata, kedudukan kini memang teguh dan mendahului pesaing utamanya Utusan Malaysia manakala sumber pendapatannya daripada iklan juga dianggap menggalakkan.

" Namun saya rasa, masalah yang dihadapi Berita Harian ialah tanggungan kos keseluruhan menerbitkan harian tersebut dan Harian Metro ," kata seorang pemerhati yang lama membabitkan diri dalam penerbitan akhbar.

Pada masa ini, Harian Metro merupakan akhbar bahasa Malaysia terbesar dengan pengedaran harian antara 235,000 hingga 240,000. Ia diikuti oleh Berita Harian (220,000) dan Utusan Malaysia (216,000).

Bagaimanapun, hakikatnya, walaupun Harian Metro merupakan akhbar bahasa Melayu tertinggi pengedarannya, tetapi kerana kurang pendapatan dari iklan, kos mengeluarkannya menjadi tinggi.

"Lagi banyak dicetak, lagi tinggi kosnya," kata seorang pemerhati yang memetik satu laporan dalam edisi terbaru Malaysian Business yang menyebut, dengan anggaran kos cetakan RM2.50 senashkah, harga Harian Metro (RM1.20) tidak mampu menampung jurang kos itu.

Projek ADD

Katanya, situasi yang sama pernah berlaku pada pertengahan tahun 1980-an di mana Berita Harian berjaya mengatasi Utusan Malaysia untuk muncul sebagai akhbar berbahasa Malaysia No. 1 di negara ketika itu.

"Peningkatan mendadak jualan Berita Harian ketika itu adalah hasil perlaksanaan projek Akhbar Dalam Darjah (ADD) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran, di mana akhbar itu dijadikan sumber rujukan di sekolah.

"Sebuah unit khas ADD diwujudkan. Di peringkat permulaannya, nashkah Berita Harian yang tidak terjual, diedarkan ke sekolah-sekolah secara percuma untuk dijadikan bahan rujukan di kelas," katanya.

Selepas itu, katanya, apabila sambutan semakin hebat dan menggalakkan, nashkah semasa digunakan sebagai rujukan di sekolah. Kos pembelian akhbar semasa itu dibiayai pula oleh wakil-wakil rakyat di tempat masing-masing.

"Bagaimanapun, apabila pengedaran Berita Harian mencecah lebih 250,000 sehari, masalah yang sama timbul kos percetakan yang tinggi, tetapi kurang pendapatan dari iklan kerana kadarnya lebih rendah daripada NST dan Malay Mail ketika itu.

"Saya difahamkan, langkah seterusnya yang diambil ialah dengan menaikkan kadar bayaran iklan setara dengan NST," tegasnya

Pada masa yang sama, katanya, ditawarkan pula pakej iklan di mana pada kadar tertentu iklan tersebut akan muncul di semua akhbar dalam Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) dan juga di TV3.

Di samping itu, katanya, akhbar Berita Harian juga diubah daripada 'broadsheet' kepada 'junior broadsheet' yang kecil sedikit saiznya. Utusan Malaysia juga, ketika itu, mengambil langkah yang sama.

"Bagi saya, ianya sebagai pusingan dalam penerbitan akhbar. Kali ini mungkin langkah menukar wajah Berita Harian kepada tabloid merupakan jawapan terbaik untuk mengekang dan menampung kos penerbitan akhbar itu dan Harian Metro ," tambahnya.