Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam gagal ketepikan kebenaran pada AG kenakan prosiding komital
Diterbitkan:  Mar 13, 2019 8:26 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Peguam Arunachalam Kasi gagal mengetepikan kebenaran yang diberikan kepada Peguam Negara (AG) Tommy Thomas untuk melakukan prosiding komital terhadap beliau (Arunachalam) kerana dikatakan mengkritik prosiding dan keputusan satu kes mahkamah.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada hakim Ramly Ali, Azahar Mohamed, Rohana Yusuf, Tengku Maimun Tuan Mat dan Nallini Pathmanathan, dalam keputusan sebulat suara, menolak permohonan Arunachalam.

Hakim Ramly, yang mengetuai panel berkata mahkamah tidak dapat bersetuju dengan hujah peguam Arunachalam bahawa AG tidak mempunyai locus standi untuk membuat permohonan bagi kebenaran exparte bagi memulakan prosiding komital.

"Dalam hal menghina, sepertimana dalam kes ini, AG mengemukakan usul ini bagi melindungi keyakinan awam dalam pentadbiran kehakiman, dan keyakinan itu terjejas akibat kenyataan-kenyataan yang menghina mahkamah,” kata beliau.

Beliau berkata mahkamah memutuskan bahawa Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan harus diberikan takrif yang mengambil kira fungsi AG yang membentuk sebahagian warisan daripada jawatan tuanya.

Peguam Arunachalam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terdahulu berhujah bahawa Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan AG kuasa untuk memfail bagi kebenaran memulakan prosiding penghinaan terhadap Arunachalam.

Hakim Ramly berkata mahkamah juga tidak dapat didorong oleh hujah peguam Arunachalam bahawa permohonan komital tidak boleh dibawa di Mahkamah Persekutuan dan sepatutnya dibawa di Mahkamah Tinggi.

Beliau kemudian menetapkan 28 Mac bagi pendengaran substantif inter-parte bagi kedua-dua pihak mengemukakan hujah.

Pada 27 Feb tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan ex-parte AG untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap Arunachalam, lebih dikenali sebagai Arun Kasi, kerana dikatakan membuat kritikan berhubung satu affidavit Hakim Mahkamah Rayuan Dr Abdul Hamid Abu Backer mengenai apa yang didakwa salah laku kehakiman dalam dua artikel yang diterbitkan di portal Aliran pada 16 Feb dan 22 Feb, 2019.

Dalam kedua-dua artikel itu, beliau dikatakan mengkritik perjalanan prosiding Mahkamah Persekutuan dan keputusan yang disampaikan pada 11 Nov, 2018, dalam kes PCP Construction lwn Leap Modulation (kes Leap Modulation).

Terdahulu, Mohamed Haniff berhujah bahawa AG sepatutnya memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi dan bukan langsung ke Mahkamah Persekutuan kerana anak guamnya akan mempunyai hak untuk merayu sebanyak dua kali.

Thomas berhujah beliau boleh mengemukakan kebenaran untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Arunachalam kerana kuasa beliau menjangkau di luar Perlembagaan oleh kerana beliau adalah pelindung kepentingan awam dan lembaga kehakiman.

Beliau juga berhujah bahawa Artikel 126 memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi bagi mendengar prosiding penghinaan untuk peringkat pertama.

- Bernama


Lihat Komen
ADS