SIS: Orang Kelantan antara penerima manfaat Telenisa
Sisters in Islam (SIS) mendakwa mereka sudah membantu lebih 8,400 umat Islam yang berurusan dengan mahkamah syariah di negara ini.
Sebahagian daripada mereka kata pertubuhan tersebut, adalah individu yang berada di negeri ditadbir PAS, iaitu Kelantan.
Pegawai undang-undang SIS, Nik Shazarina Bakti, berkata bantuan tersebut diberikan kepada orang yang memerlukan melalui klinik bantuan guamannya, Telenisa.
Mengulas mengenai bidasan PAS kerana kerajaan memberikan geran kepada NGO itu, Nik Shazarina, berkata PAS tidak sedar klinik bantuan guaman SIS membantu individu dalam golongan berpendapatan RM2,500 sebulan.
Katanya sebahagian daripada mereka itu ialah penduduk di Kelantan- sebuah negeri yang ditadbir PAS sejak 29 tahun lalu.
Baru-baru ini, kerajaan memperakui kejayaan Telenisa apabila Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mengumumkan bantuan RM20,000 kepada SIS.
Dana itu disumbangkan untuk membantu pertubuhan terbabit mengumpul data untuk kerajaan menyusun dasar lebih baik.
Tak sangka berlaku
Nik Shazarina berkata, selain menyediakan bantuan nasihat mengenai undang-undang keluarga dan jenayah Islam, Telenisa juga menyediakan senarai peguam syarie yang boleh dipercayai dengan kadar berpatutan.
Katanya kemudahan itu diberikan kerana terdapat aduan bahawa ada peguam yang tidak melakukan kerja selepas mendapat bayaran.
"Tidak seperti sistem sivil yang dikawal oleh Majlis Peguam, tiada tempat untuk menghukum peguam syarie," kata Nik Shazarina seperti lapor portal berita TMI.
Pengurus Operasi dan Kewangan SIS Sarinah Salleh pula berkata kebanyakan individu yang mendapatkan bantuan Telenisa berdepan masalah dengan undang-undang keluarga di mahkamah syariah yang tidak sama mengikut negeri.
"Tanpa kami, wanita Islam ada isu dengan akses dan kesedaran undang-undang. Ada lompong yang kosong dan kami mengisinya," katanya.
Sarinah berkata lagi, cerai, nafkah dan poligami antara tiga perkara utama yang sering ditanya.
"Biasanya wanita tidak tahu hak mereka sehingga sesuatu itu berlaku.
"Kebanyakan mangsa dera rumah tangga tidak tahu prosedur untuk menuntut cerai, misalnya perlu ada laporan daripada hospital kerajaan untuk menunjukkan kecederaan," katanya.

