Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Luar Nadzirah Osman akan ke New Zealand petang ini bagi memberikan sokongan dan bantuan kepada keluarga dan mangsa kejadian tembakan di Christchurch semalam, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata dua pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington kini berada di Christchurch.

“Setakat pukul 3 petang ini tiga rakyat Malaysia cedera dalam kejadian tembak yang menyasarkan dua masjid di Christchurch semalam dan kesemua mereka sedang dirawat di hospital. Seorang lagi warga Malaysia masih hilang dan usaha untuk mencarinya sedang berjalan,” kata Saifuddin lagi.

Saifuddin berkata beliau juga telah berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters untuk menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat New Zealand termasuk keluarga dan rakan mangsa.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan New Zealand kerana bertindak pantas untuk mengembalikan keamanan di kawasan terjejas dan memudah cara rawatan perubatan kepada mangsa,” kata beliau.

Kedua-dua, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya sendiri masing-masing telah mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern dan Timbalan Perdana Menteri Winston Peters pada Jumaat,” kata Saifuddin.

Beliau berkata Malaysia bersama Perdana Menteri Jacinta Ardern dan kerajaannya dalam mengecam kesemua perbuatan keganasan dan mengorak langkah ke arah keamanan dan keharmonian yang berkekalan antara insan menerusi dialog yang rasional, syarahan intelektual dan integrasi secara aman antara mereka yang berbeza bangsa, agama dan negara asal di tengah-tengah kejahatan dan kebencian terhadap kemanusiaan.

Tak sesuai, penuh kebencian

Saifuddin juga berkata kenyataan Senator Fraser Anning yang menyalahkan serangan pengganas semalam kepada orang Islam fanatik, dasar migran New Zealand dan agama Islam secara umumnya, adalah bersifat penuh kebencian dan tidak sesuai dari segi moral.

“Kenyataan Anning menafikan realiti kejadian tembakan di Christchurch adalah perbuatan pengganas terhadap komuniti Islam yang tidak bersalah di dalam tempat suci mereka beribadat. 

"Penyerang adalah daripada organisasi politik berhaluan kanan yang ekstremis dan tembakan itu secara keseluruhannya adalah tanpa provokasi dan justifikasi. Ia secara asasnya adalah jenayah pembunuhan yang dimotivasikan oleh kefanatikan dan kebencian ekstrem terhadap Muslim migran,” katanya.

Saifuddin berkata walaupun kenyataan Senator Anning tidak mencerminkan pandangan Kerajaan Australia tetapi beliau bimbang dengan kenyataan tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai perasaan yang menyamakan Islam sebagai sebuah rejim zalim pada kurun keenam dengan peperangan tanpa henti, boleh menimbulkan jenayah kebencian terhadap orang Islam di seluruh dunia.

Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan 49 maut dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch ketika penganut Islam ingin menunaikan solat Jumaat dan lebih 20 orang dilaporkan cedera.

- Bernama