Penemuan tong biru yang dipercayai mengandungi sisa kimia ditemui di Sungai Masai dan Sungai Semilang, Pasir Gudang semalam.

Sebanyak 10 tong ditemui di Sungai Masai dan tujuh tong di Sungai Semilang.

Menurut laporan The Star, pihak berkuasa telah diberitahu mengenai penemuan tong tersebut di Sungai Masai Ahad lalu.

Tong yang dijumpai di Sungai Semilang itu juga dikatakan berdekatan sekolah SMK Tanjung Puteri yang diarahkan tutup Rabu lepas disebabkan pencemaran tersebut.

Penduduk mula berasa resah akan keadaan tempat mereka yang bakal terjejas selepas kejadian ini.

Ahmad Roh Ariffin, 51, berkata bahan kimia yang mengalir di sungai tersebut mengakibatkan bau busuk yang melampau di kawasan terbabit.

“Kami mula risau kerana terdapat penduduk yang mula mengadu mengalami kesukaran untuk bernafas,” beliau dipetik sebagai berkata.

Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata isu ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar supaya mereka memulakan penyiasatan.

“Saya kini sedang meneliti aduan dan laporan mengenai penemuan sisa toksik di tempat berkenaan dan mengarahkan supaya laluan tempat tersebut ditutup buat sementara waktu.

Wakil Rakyat Kempas itu juga menggesa penduduk supaya tidak pergi ke tempat terjejas untuk menjamin kesihatan masing-masing.

Terdahulu media melaporkan proses pembersihan sepanjang 1.5km Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang dimulakan sejak Rabu lepas ekoran pembuangan sisa kimia sudah selesai.