Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cent-GPS: Kuota bukan penyelesaian diskriminasi pasaran kerja

Kajian Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS) berkata pelaksanaan kuota bukanlah penyelesaian sesuai dalam isu diskriminasi kaum di sektor swasta.

Pengarah Cent-GPS Khairul Azwan Harun berkata kerajaan sebaliknya menawarkan insentif cukai kepada syarikat.

"Jangan bercakap tentang kuota. Mungkin tawar pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang memiliki tenaga kerja yang pelbagai kaum," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Katanya, satu lagi cara untuk menangani perkauman dalam proses pengambilan pekerja adalah untuk melarang majikan meminta pemohon menyertakan gambar di resume mereka.

Azwan yang juga senator Umno berkata cara itu mungkin berbaloi untuk dicuba, walaupun nama rakyat Malaysia biasanya menunjukkan latar etnik mereka.

Cent-GPS baru-baru ini membentangkan kajian yang menunjukkan syarikat swasta bersikap berat sebelah kepada pemohon daripada kaum Cina dalam mengambil pekerja.

Menggunakan nama rekaan degan kelayakan sama, badan itu menghantar resume kepada kira-kira 547 tawaran peluang pekerjaan.

Kajian itu menunjukkan calon India mendapat panggilan temuduga paling sedikit. Selain itu, secara keseluruhan calon India dan Melayu mendapat kadar panggilan semula 14 peratus bagi pekerjaan yang tidak memerlukan penguasaan bahasa Mandarin, dan 16 peratus bagi yang tidak memerlukannya.

Calon Cina pula mendapat kadar panggilan temu duga lebih tinggi, dengan calon lelaki pada kadar lebih 30 peratus dan calon perempuan lebih 40 peratus.

Metodologi kajian dipersoal

Metodologi yang digunakan Cent-GPS dipersoalkan beberapa pihak, termasuk Lee Hwok Aun dan Muhamed Abdul Khaled yang menerbitkan kajian sama pada 2013.

Lee dan Muhamed berkata data Cent-GPS sebenarnya menunjukkan bagi pekerjaan yang memerlukan kemahiran bahasa Mandarin, semua calon mendapat kadar panggilan semula lebih tinggi, walaupun calon Cina tetap menjadi pilihan utama.

Bagaimanapun mereka berkata rakyat Malaysia perlu melihat dapatan kajian Cent-GPS - yang menunjukkan kecenderungan kepada calon Cina di sektor swasta - secara serius.

Azwan yang juga bekas timbalan ketua pemuda Umno mengalu-alukan kritikan itu, berkata matlamatnya untuk "mencetuskan perbincangan nasional" berkenaan diskriminasi dalam pasaran kerja.

Beliau juga berkata sanggup bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani isu tersebut.

"Kita sedia membentangkan perkara ini kepada Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran. Mari cari penyelesaian terbaik untuk isu ini," katanya lagi.

Bagaimanapun beliau tidak setuju dengan gesaan beberapa pihak agar negara meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) sebagai jalan penyelesaian.

"Kita tak perlu ratifikasi Icerd...Kita tak perlu undang-undang asing...Jika kita mahu betulkan isu ini kita boleh buat sendiri," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS