NZ haramkan jual senjata separa automatik, raifal gempur
GLOBAL | Enam hari selepas berlaku insiden berdarah di dua masjid di Christchurch, Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, mengumumkan langkah drastik dan tegas bagi mengekang keganasan di negara berkenaan.
Hari ini Wellington mengharamkan penjualan senjata separa automatik dan raifal gempur.
“Ini hanyalah permulaan untuk tugas yang akan kami laksanakan,” katanya pada sidang media hari ini dan dipetik Aljazeera.
Mengulas lanjut, Jacinda berkata keputusan tersebut diambil kerajaan New Zealand sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan berlaku semula keganasan.
Undang-undang tersebut dijangka berkuat kuasa pada 11 April ini.
Jacinda juga mengumumkan beberapa langkah sementara akan diambil untuk menghentikan pembelian tersebut sebelum undang-undang berkuat kuasa sepenuhnya.
Tambah Jacinda, pengganas yang ditangkap sebagai suspek dalam serangan ganas di masjid tersebut melakukan pembelian senjata serta meningkatkan kapasiti peralatan tersebut secara sah.
“Pembelian itu dilakukan secara mudah melalui atas talian," katanya.
Ardern juga menegaskan semua bentuk senjata berkaitan dan peranti berkapasiti tinggi bagi meningkatkan kemampuan senajata api turut diharamkan.
“Secara ringkas, semua bentuk senjata separa automatik yang digunakan dalam serangan pada Jumaat minggu lalu akan diharamkan di negara ini,” katanya.

