'Mahkamah khas rasuah tak seharusnya tumpu kes masa lalu saja'
Majlis Peguam Malaysia menyokong rancangan kerajaan untuk menubuhkan mahkamah khas untuk mendengar kes rasuah.
Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor bagaimanapun berkata, mahkamah seumpamanya tidak harus bertumpu kes-kes rasuah masa lalu.
"Kami menggesa kerajaan memastikan mahkamah khas rasuah bukan hanya menumpukan kes-kes masa lalu.
"Mandat untuk mahkamah khas ini adalah untuk menegakkan keadilan bagi kesalahan yang dilakukan sama ada pada masa lalu, masa kini, atau masa akan datang," kata Abdul Fareed dalam kenyataan medianya hari ini.
Selasa lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata mahkamah khas berkenaan akan menumpukan untuk menangani kes-kes rasuah yang berlaku sebelum ini, dan menyifatkannya sebagai selari dengan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).
Antara kes yang masih tertangguh, katanya, adalah yang melibatkan pembinaan kem tentera untuk mengubah demografi pengundi di kawasan tertentu menjelang pilihan raya umum lalu.
Sementara kes rasuah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak masih pada tahap pengurusan kes dan pelbagai rayuan difailkan oleh ahli parlimen Pekan itu.
Abdul Fareed menambah bahawa mahkamah khas rasuah bukan perkara baru kerana beberapa Mahkamah Sesyen pernah ditugaskan untuk menangani kes rasuah pada 2011.
Ketika ini terdapat 18 mahkamah khas seumpamanya.
"Gejala rasuah mesti ditangani. Sebarang ketidaktelusan atau penipuan adalah menghina institusi dan bertentangan dengan kedaulatan undang-undang.
"Rasuah merupakan pencerobohan amanah orang ramai, dan menjejaskan sumber negara yang seharusnya digunakan untuk kepentingan awam serta bukannya untuk kepentingan peribadi," katanya.

