Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah dengar permohonan ikat jamin tertuduh remaja 27 Mac

Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan tarikh 27 Mac ini untuk memutuskan permohonan ikat jamin ke atas dua tertuduh remaja dalam kes bunuh bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata mahkamah memerlukan masa untuk meneliti hujah pihak pemohon dan pendakwaan terhadap permohonan dua remaja lelaki berusia 13 dan 16 tahun itu.

"Kes ini cukup penting dan rumit. Saya memerlukan masa untuk meneliti hujah semua pihak," kata Ab Karim di dalam mahkamah yang sesak.

Menurut Ab Karim keputusan akan disampaikan pada 2.30 petang pada Rabu minggu hadapan.

Pada 12 Mac lalu di hadapan mahkamah yang sama, kedua-dua remaja lelaki itu, bersama isteri Nazrin, bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar, 44 dan seorang warga negara Indonesia, Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas dikenakan pertuduhan membunuh.

Pembunuhan Nazrin, berusia 47 tahun dikatakan berlaku di sebuah rumah di Rumah Mutiara, antara pukul 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi hari berikutnya.

Tuduhan itu, di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Wanita itu dan dua remaja lelaki tersebut selepas dibacakan pertuduhan pada 12 Mac lalu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Dalam keadaan biasa, kesalahan ini tidak boleh diberikan ikat jamin.

Terdahulu hari ini ketika peguam remaja itu membuat serahan kepada mahkamah, Hisyam Teh Poh Teik berhujah ikat jamin perlu diberikan kepada tertuduh yang di bawah umur kerana mereka cemerlang dalam akademik, aktiviti kokurikulum dan tidak mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Hishyam memberitahu mahkamah ikat jamin juga perlu diberikan kerana penahanan itu tidak wajar memandangkan kedua-dua tertuduh di bawah umur, terutamanya apabila tertuduh yang paling muda didakwa menerima gangguan seksual di sebuah sekolah di Sentul, Kuala Lumpur.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin menegaskan tidak ada keadaan khusus yang membenarkan mahkamah memberikan ikat jamin kepada dua remaja yang dituduh melakukan pembunuhan itu.

Jamil memberitahu mahkamah pergantungan pemohon terhadap hujah dakwaan gangguan seksual itu tidak boleh dianggap sebagai keadaan khas kerana terdapat percanggahan dalam kandungan afidavit pemohon yang menimbulkan dakwaan itu.

Pada 3 Ogos tahun lalu, polis mengklasifikasi kematian Nazrin sebagai kes bunuh selepas penyiasatan jabatan bomba mendapati kesan petrol di tempat kebakaran.

Dilaporkan sebelum ini Nazrin meninggal dunia akibat kebakaran yang berounca daripada letupan telefon bimbitnya.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 1 Oktober 2018 membenarkan polis melakukan bedah siasat kedua bagi membantu siasatan terhadap kematiannya.

Laporan bedah siasat kedua menyatakan Nazrin meninggal akibat kecederaan di kepala dan bukan berpunca daripada letupan telefon bimbit.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS