Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tunku Idris sedih keadaan sungai di Johor
Diterbitkan:  Mar 22, 2019 11:51 AM
Dikemaskini: 3:51 AM

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan orang ramai tentang pentingnya kesedaran dalam memelihara sungai di negeri ini.

Mengambil iktibar kejadian di Pasir Gudang, baginda bertitah langkah segera perlu diambil untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya pencemaran sungai.

Menurut baginda, sungai-sungai di negeri Johor bakal menjadi kawasan lupusan toksik secara berleluasa jika tiada usaha berterusan ke arah mendidik rakyat untuk mengambil berat tentangnya.

"Bersempena dengan Hari Air Sedunia (hari ini), saya ingin menarik perhatian orang ramai kepada kesan buruk akibat mencemarkan sungai kita.

"Tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang membawa pengajaran untuk kita semua," titah Tunku Idris kepada Royal Press Office (RPO) di Johor Bahru hari ini.

Punca air bersih

Menurut Tunku Idris, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah memusnahkan sungai itu, termasuk spesis kehidupan marinnya serta potensinya sebagai punca air bersih.

Sambil menzahirkan rasa sedih mengenai insiden itu, Penaung DiRaja Taman Negara Johor itu bertitah kesemua daripada kira-kira 16 sungai utama di negeri Johor pernah terjejas akibat pencemaran.

"Betapa sedihnya keadaan sungai di negeri kita.

"Degradasi sungai secara sistematik akibat pembuangan sampah domestik serta sisa perindustrian mesti dihentikan kerana ia adalah sumber kehidupan kita," titah baginda.

Tambah Tunku Idris, krisis di Pasir Gudang telah mengutarakan keperluan drastik untuk inisiatif baharu bagi mendidik orang awam memainkan peranan dalam melindungi sungai dan sumber air.

Tegas baginda telah tiba masanya untuk sektor awam dan swasta mengenal pasti kaedah baharu serta idea inovatif untuk menghidupkan semula dan menyelamatkan sungai-sungai yang kotor.

"Mereka perlu menjadi proaktif, bukannya bertindak balas sahaja setiap kali berlaku sesuatu bencana.

"Saya menggesa semua pihak mempergiatkan usaha untuk membersihkan sungai, malah sekolah-sekolah juga perlu lebih aktif melibatkan pelajar dalam program ‘Cintai Sungai Kita’ agar golongan muda ditanam kesedaran akan kepentingan sumber air yang bersih," titah Tunku Idris.

Baginda turut memberi amaran bahawa jika pencemaran sungai berterusan, negeri Johor berisiko berdepan kekurangan bekalan air untuk kegunaan harian rakyat serta keperluan industri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS