Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Saya tiada program sembang santai di masjid
Diterbitkan:  Mar 22, 2019 3:05 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini menafikan beliau akan hadir berceramah dalam program sembang santai bersamanya di Masjid Ar-Rahman dekat Universiti Malaya di Kuala Lumpur.

Ini selepas pengurusan masjid membuat laporan polis berhubung poster yang mendakwa Najib pergi ke sana untuk memberi ceramah kepada pelajar universiti.

"Saya tak pasti pihak mana yang mengeluarkan grafik ini bahawa saya akan bersembang santai di dalam masjid," katanya pada hantaran di Facebook.

Najib berkata beliau memang merancang menunaikan solat Jumaat di masjid itu tetapi menafikan akan mengadakan program sembang santai.

"Selama ini, saya tidak pernah berceramah atau bersembang santai di dalam Masjid kerana kita semua menghormati rumah Allah dan tidak disalahgunakan," katanya.

Susulan itu, Najib bersolat Jumaat di Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi bagi mengelakkan "memberi kerumitan" kepada pihak pengurusan Masjid Ar-Rahman.

"Untuk mengelak daripada memberi kerumitan kepada pentadbir Masjid Ar-Rahman di Universiti Malaya (UM) dan pihak universiti, saya akan menunaikan Solat Jumaat saya hari ini di Masjid Ar-Rahah yang berhampiran di Kampung Kerinchi.

"Selepas itu, saya akan bertemu serta bersantai dengan kawan-kawan kita di Restoran Amjal berhadapan UM pada pukul 2:30 petang," jelasnya.

 

Lihat Komen
ADS