Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) wanita Selangor terutama yang bukan beragama Islam mengenakan selendang ketika menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini, sebagai tanda solidariti terhadap mangsa tragedi tembakan rambang di Christchurch Jumaat lepas.
Antara yang dilihat memakai selendang ialah ADUN Balakong Wong Siew Ki, Adun Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong, ADUN Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze, Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei dan ADUN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.
Wong berkata beliau terpanggil untuk memakai selendang sebagai sokongan kecil buat mangsa-mangsa tragedi tersebut.
"Dalam sesetengah perkara, memang kita tak mampu berbuat apa-apa. Jadi ini antara inisiatif yang kita boleh buat walaupun dari jauh sebagai tanda sokongan buat keluarga mangsa bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi masa-masa sukar ini," katanya ketika dihubungi.
Kementerian Luar Negeri semalam mengesahkan rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, merupakan antara 50 mangsa yang terbunuh dalam tragedi itu dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Bromley Memorial Park Cemetery di Christchurch, pada hari sama (semalam).
Bapanya Mohd Tarmizi Shuib, 42, bersama dua lagi rakyat Malaysia; Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad; turut tercedera apabila penyerang melepaskan tembakan ke arah jemaah Masjid Al Noor serta Masjid Linwood, dalam kejadian itu.
Lee pula menyifatkan pemakaian selendang sebagai tanda keprihatinan beliau terhadap tragedi berdarah tersebut.
"Kita mengutuk perbuatan kejam dilakukan dan bersimpati dengan mangsa serta keluarga terlibat. Hati kita memang bersama mereka dan ini cara kita menzahirkan solidariti buat mereka," katanya.
Sebelum ini, hebahan yang mengajak wanita memakai tudung pada hari ini disebarkan di New Zealand sebagai tanda solidariti kepada semua mangsa tragedi serangan itu.
- Bernama
