Diplomat Australia pertikai hujah Musa Hassan isu hukuman mati
Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia Andrew Goledzinowski mempertikaikan kenyataan bekas ketua polis negara Musa Hassan berhubung hukuman mati.
Goledzinowski merujuk kenyataan Musa yang mengingatkan kerajaan PH agar mengambil iktibar insiden serangan oleh pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand sebelum membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati.
"Musa Hassan fikir serangan di Christchurch akan dapat dielakkan sekiranya New Zealand ada hukuman mati.
"Hukuman mati = tiada keganasan. (Hujah yang paling teruk?)" kata Goledzinowski melalui Twitter.
Hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya di New Zealand pada 1989. Pada 2017, kadar kes bunuh di New Zealand turun pada tahap paling rendah dalam tempoh 40 tahun.
Negara berkenaan mencuri tumpuan dunia apabila Brenton Tarrant, suspek warga Australia pada 15 Mac lalu melepaskan tembakan di dua masjid di Christchurch yang menyebabkan 50 terbunuh.
Terdahulu, Goledzinowski turut hadir di perhimpunan aman di Kuala Lumpur yang diadakan sebagai tanda solidariti dengan mangsa serangan berkenaan.
Semalam, pemimpin MCA menjemput Musa untuk berkongsi pandangan mengenai hukuman mati sebagai sebahagian kempen membantah rancangan kerajaan menghapuskan hukuman mandatori bagi kesalahan jenayah tertentu.
Dalam program itu, Musa menggunakan serangan di New Zealand sebagai hujah untuk menyarankan agar hukuman mati dikekalkan.
Kerajaan pada mulanya merancang untuk memansuhkan hukuman mati sepenuhnya, meskipun dalam manifesto mereka hanya menyebut hukuman mati mandatori.
"Kita tidak boleh buat separuh hati, seperti memansuhkan hukuman mati untuk satu kesalahan dan mengekalkannya untuk kesalahan lain. Kita mahu hapuskan semua hukuman mati," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong sebelum ini.
Bagaimanapun, selepas mendapat bantahan, kerajaan memberi gambaran untuk menghapuskan hukuman mati mandatori.
Dengan penghapusan hukuman mati mandatori, hakim akan diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati atau tidak mengikut budi bicara masing-masing.

