Abdullah pertahan kedudukan Rafidah
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus mengekalkan Datuk Seri Rafidah Aziz dalam kabinet walaupun keputusan itu mengecewakan sebahagian besar rakyat dan pemerhati politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus mengekalkan Datuk Seri Rafidah Aziz dalam kabinet walaupun keputusan itu mengecewakan sebahagian besar rakyat dan pemerhati politik.
"Saya masih perlukan pengalaman dan kemampuan beliau dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri," beliau memberitahu sidang media di pejabatnya di Putrajaya petang ini.
"Apa yang menjadi masalah beliau hanya isu AP (permit import) sedangkan terdapat pelbagai isu lain lagi di dalam kementerian itu," ujar Abdullah.
Rafidah, salah seorang menteri paling lama berkhidmat dalam kabinet, menjadi sasaran pelbagai pihak beberapa bulan lalu hingga ada yang memintanya meletakkan jawatan ekoran kontroversi isu AP kereta.
Abdullah juga menjelaskan, isu AP kini tidak lagi diterajui oleh Rafidah tetapi diletakkan di bawah tanggungjawab Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang mengetuai satu jawatankuasa khas untuk menangani isu berkenaan.
Perdana Menteri membuat ulasan itu apabila ditanya oleh wartawan mengapa beliau mengekalkan beberapa orang menteri kanan dalam barisan kabinetnya itu.
Sebelum menjawab soalan wartawan berkenaan, Abdullah meminta dinamakan menteri kanan yang dimaksudkan itu. Apabila wartawan berkenaan menyebut nama Rafidah, Abdullah secara berseloroh berkata: "Nampaknya Rafidah adalah menteri yang popular..."
Berhubung keputusannya untuk menggugurkan Datuk Dr Shafie Salleh dari jawatan Menteri Pengajian Tinggi, beliau menjawab: "Saya fikir jawatannya patut dipegang oleh orang lain."
Effendi ganti Adenan
Dr Shafie, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kewangan adalah salah seorang daripada menteri kabinet yang tewas dalam pemilihan ahli Majlis Tertinggi Umno pada 2004.
Perdana Mentri juga menyatakan, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Adenan Satem digugurkan bagi membuka laluan untuk perlantikan semula bekas menteri, Datuk Mohd Effendi Norwawi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Kedua-dua Adenan dan Mohd Effendi adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Sarawak. Abdullah berkata, Adenan dijangka mmainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negeri Sarawak selepas ini.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan kenapa Menteri Pelancongan, Datuk Dr Leo Michael Toyad yang juga dari PBB digugurkan.
Abdullah, yang juga ditanya tentang spekulasi yang menjangkakan beliau akan melepaskan kementerian lain yang diterajuinya sekarang untuk menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai Perdana Menteri, berkata: "Saya akan lakukan apa yang perlu dilakukan tanpa mengabaikan tanggungjawab saya."
Abdullah juga memegang jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri.
Mengenai menteri-menteri dari parti MIC pula, Abdullah berkata, beliau perlu menunggu dahulu keputusan pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang akan diadakan tidak lama lagi.
Menyentuh tentang harapannya terhadap barisan kabinetnya itu, Abdullah berharap dan percaya semua anggota kabinetnya mampu bekerja dan membantunya untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

