Paling Popular
Terkini

Sempena penganjuran program Gegar Boxing Pantai Timur, bekas perdana menteri Najib Razak akan dihadiahkan sepasang sarung tinju khas sebagai cenderamata atas kesudian merasmikan program itu.

Pengarah penganjur, Fauwzi Ismail berkata, pihaknya menempah sepasang sarung tinju buatan khas dari Thailand dengan tulisan 'malu apa bossku'.

Menurutnya, ia sebagai penghargaan buat Najib selaku tetamu istimewa yang dinanti-nanti oleh peminat sukan itu pada acara 29 dan 30 Mac ini bertempat di Tapak Expo Pantai Irama, Bachok.

"Saya boleh mengesahkan beliau akan hadir sebagai tetamu istimewa sekaligus merasmikan program kita pada malam pertama.

"Justeru, sebagai penganjur kita juga menyediakan cenderahati istimewa untuk beliau iaitu sepasang sarung boxing yang ditempah khas daripada pembuat dari Thailand bernilai lebih RM2,000.

"Mungkin ini kali pertama bekas perdana menteri menerima hadiah seperti ini, jadi sempena dengan populariti beliau sekarang, kita tempah khas sarung boxing tertulis 'malu apa bossku'," katanya pada sidang media sempena majlis penyerahan dua buah motosikal daripada penaja program, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Hadir sama Presiden Persekutuan Sukan Boxing Negeri Kelantan (PSBNK), Mohd Fared Abdul Ghani.

Sementara itu, Fauwzi berkata program anjuran Ikatan Big Brother Pantai Timur dengan kerjasama PSBNK itu akan menampilkan 26 jaguh Muay

Thai termasuk peserta dari Thailand dan Uzbekistan untuk ditonton bersama Najib.

"Tujuan pihak kita menjemput bekas perdana menteri itu bertujuan menarik minat golongan belia untuk sama-sama melihat aktiviti sihat ini.

"Kini Najib popular dengan tagline 'malu apa bossku', oleh itu pihak kita akan berusaha membawa beliau ke Kelantan untuk bersama peminat sukan ini, " katanya.

Tambahnya, penganjur juga menyediakan hadiah utama berupa dua buah motosikal berjenama kepada pengunjung bertuah yang disediakan pihak penaja.

"Kita berharap program ini berjalan dengan lancar dan bagi pihak penganjur kita komited untuk memenuhi syarat-syarat kerajaan negeri termasuk dalam aspek pemakaian patuh syariah di kalangan peserta, " jelasnya.

Lihat Komen
ADS