Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Sandakan meninggal dunia
Diterbitkan:  Mar 28, 2019 12:47 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Ahli parlimen Sandakan Stephen Wong, 65, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada jam 12.15 tengah hari ini akibat serangan jantung.

Wong adalah pengerusi DAP Sabah dan sudah dua penggal menjadi anggota parlimen Sandakan, selain menjadi menteri kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Setiausaha Politik mendiang, Phoong Jin Zhe berkata sebelum itu, Wong keluar dari rumah pada jam 5.05 pagi untuk menyertai aktiviti merentas hutan di Putatan anjuran sebuah NGO.

Menurutnya memandangkan keadaan masih awal untuk berkumpul, mendiang bersarapan dahulu dengan pemandunya di kedai kopi dan pada ketika itu, keadaan beliau masih baik.

Pada kira-kira jam 8.30 pagi selepas selesai menyertai aktiviti merentas hutan, Wong berasa tidak selesa dan sakit dada lalu berehat seketika, kata Phoong dalam satu kenyataan.

Dalam perjalanan balik ke rumah, katanya mendiang masih berasa kurang selesa dan apabila keadaannya semakin tenat, pemandu Wong menghantarnya ke hospital kira-kira 9.35 pagi.

Bagaimanapun, kata Phoong, selepas rawatan kecemasan, Wong menghembus nafas terakhir pada jam 12.15 tengah hari.

Mendiang meninggalkan isteri, empat anak dan dua cucu.

Menurut Phoong jasad mendiang kini ditempatkan di Kota Kinabalu sehingga esok bagi memberi peluang kepada keluarga dan rakan memberi penghormatan terakhir.

Katanya jasad mendiang akan dihantar balik ke Sandakan pada Sabtu ini untuk upacara rasmi dan penghormatan terakhir.

Beliau menyifatkan mendiang sebagai seorang menteri yang rajin berkhidmat dan bekerja keras demi rakyat sejak dilantik sebagai wakil rakyat.

Sementara itu, Dewan Rakyat hari ini bertafakur dan merakam ucapan takziah kepada keluarga Wong.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming mewakili Dewan Rakyat menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang Wong.

Nga menyifatkan pemergian mendiang Wong sebagai kehilangan besar buat negara dan Dewan Rakyat.

“Mendiang Wong merupakan Anggota Parlimen Sandakan sejak 2013. Jasa dan pengorbanan mendiang amat besar dan bermakna kepada negara,” katanya.

Wong,  dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu apabila mengadu sakit dada ketika menyertai aktiviti mendaki bukit tetapi meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Dalam perkembangan berkaitan, ucapan takziah juga mula mencurah di media sosial.

Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau terkejut apabila mendapat perkhabaran itu.

“Takziah buat keluarga mendiang dan rakan-rakan seperjuangan. Semoga tabah menghadapi saat duka ini,” katanya dalam catatan di laman Twitter.

Turut mengucapkan takziah ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang berkata: “We have lost a good man and a courageous leader. May his soul rest in peace.”

Menteri Luar Saifuddin Abdullah pula menyifatkan pemergian Wong sebagai kehilangan besar kepada Parlimen Sandakan dan Pakatan Harapan.

"Sedih mendengar pemergian YB Stephen Wong... Takziah kepada keluarganya," kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di Twitter.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran pula berkata beliau kehilangan kawan dan pemimpin yang baik.

"Khidmatnya kepada rakyat akan sentiada dikenang. Hidup ini memang penuh ketidakpastian," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-14, Wong mengalahkan calon BN bagi kerusi Parlimen Sandakan dengan majoriti 10,098 undi.

Walaupun tidak memegang kerusi DUN, perlembagaan Sabah membenarkan seseorang individu itu dipilih sebagai menteri melalui pelantikan.


Lihat Komen
ADS