Pelajar cemerlang akhirnya dapat dokumen pengenalan
Penantian selama enam tahun pelajar cemerlang tanpa dokumen kelahiran dan pengenalan diri, Roisah Abdullah berakhir hari ini apabila kerajaan meluluskan permohonan kewarganegaraannya.
Roisah berkata, kejayaan memperolehi kewarganegaraan itu adalah hasil kerjasama daripada pelbagai pihak khususnya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
“Syukur alhamdulillah. Terima kasih kepada YB Zuraida, Encik Sathiya (Murthy, wakil biro kebajikan, PKR Kapar) dan cikgu-cikgu saya yang banyak membantu saya dari saya tingkatan 1, sampailah sekarang umur saya 22 tahun.
“Ini benar-benar hadiah yang besar buat saya dan saya rasa macam terkejut dan teruja juga sebab setelah sekian lama tunggu dan sekarang terus dapat depan mata, saya terkejut dan teruja,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya, hari ini.
Ketiadaan dokumen kelahiran dan kad pengenalan diri menyebabkan Roisah, bekas penuntut Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Klang tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi walaupun memperoleh keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) denagn mendapat 3A dan 1B.
Dia juga berjaya mendapat mencatat keputusan 7A dan 1B pada peperiksaan ijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta semua A semasa peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ibu Roisah merupakan warga asing manakala identiti bapanya tidak diketahui.
Dia dibesarkan oleh seorang ibu angkat warga tempatan.
Roisah dilaporkan beberapa kali memohon kewarganegaraan beberapa kali namun ditolak, sebelum peguam N Surendran membangkitkan isu itu pada Mac tahun lalu.
Dia kini merupakan pelajar semester ketiga jurusan perakaunan di Unirazak dan merupakan anak angkat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Mahu buat kad LRT
Roisah berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya meluluskan permohonnannya.
“Selama ini, saya tidak boleh membuat akaun bank, memohon lesen kenderaan malah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta.
“Selepas mendapat status kewarganegaraan, hidup saya pasti berubah. Perkara pertama selepas ini, saya mahu membuat kad Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memudahkan pergerakan ulang-alik ke Universiti Tun Abdul Razak(Unirazak),” katanya.
Ditanya berkenaan cabaran yang dihadapinya sebelum ini, Roisah berkata permohonan Unit Pusat Universiti (UPU) sebelum ini ditolak kerana tiada dokumen pengenalan diri.
"Sewaktu bersekolah pula, keluarga angkat saya perlu membayar levi sebanyak RM240 setiap tahun kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan masuk ke sekolah sebagai warganegara asing,” katanya.
Dalam pada itu, Zuraida berkata status kerakyatan yang diperoleh Roisah diharap dapat memberi kelebihan kepadanya untuk memasuki universiti awam selepas ini.
Sementara itu, Sathiya yang juga wakil Biro Kebajikan PKR Kapar ketika ditemui pemberita dengan sebak berkata beliau gembira apabila usaha lapan tahun itu berjaya.
“Kami telah memperjuangkan hak Roisah sejak lapan tahun lalu dan ini pengakhirannya.
“Cuma, saya persoalkan apa salah budak ini buat sehingga hak dia dinafikan (sebelum ini)?" soalnya.

