Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata prestasi menteri kabinet akan sentiasa dipantau bagi memastikan mereka menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Kata beliau, tugas memantau itu akan dilakukan sebuah jawatankuasa khas yang akan menyediakan laporan terhadap prestasi setiap menteri kepadanya.

"Bekerjalah bersunguh-sungguh, saya akan memantau melalui sebuah jawatankuasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Asas Tani 2006, di Kuala Lumpur.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas laporan yang menyebut beliau mengingatkan barisan menteri baru supaya serius menjayakan program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) atau berhenti jika tidak mampu.

"Tidak boleh buat kerja, tiada hasil apa pun. Maknanya tiada kerja, dia berhentilah, apa pun tak buat," katanya ketika ditanya mengenai kriteria seorang menteri yang tidak mampu menjalankan tugas.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri bagaimanapun yakin menerusi perancangan yang baik, barisan kabinet sekarang mampu menjayakan program RMK-9.

Abdullah juga berkata pertukaran portfolio beberapa menteri kabinet bertujuan memberi pendedahan kepada mereka.

Dalam rombakan Kabinet dua hari lepas, tiga menteri bertukar portfolio iaitu Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Azmi Khalid dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

"Kita tukar dan beri mereka cuba perkara baru. Dengan perubahan yang saya buat, saya harap prestasi mereka akan lebih baik," katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan kebanyakan menteri masih dikekalkan dalam portfolio lama bagi meneruskan tugas yang dilakukan sekarang.

Sebagai contoh, Abdullah berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin masih dikekalkan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membolehkan beliau meneruskan usaha-usaha memajukan sektor pertanian.

"Kalau pandu kereta, Tan Sri Muhyiddin kira dah masuk gear tiga atau empat, macam mana hendak tukar pemandu," katanya.