Kabinet bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu pendatang asing yang menguasai aktiviti jual beli di pasar-pasar di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata jawatankuasa khas itu juga terdiri daripada empat kementerian.

Katanya jemaah menteri pada mesyuarat 29 Mac lalu bersetuju supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Wilayah Persekutuan, selain Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menubuhkan jawatankuasa tersebut.

“Ini kerana peniaga asing aktif di pasar-pasar borong dan pasar harian sehingga memerlukan tindakan secara bersama daripada keempat-empat kementerian ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut Salahuddin berkata jawatankuasa khas tersebut bermesyuarat bagi mengkaji isu berkenaan secara mendalam sekali gus memberikan cadangan bagi menanganinya.

Anggota parlimen Pulai itu menjelaskan ketua setiausaha setiap kementerian akan mengetuai pegawai masing-masing dalam pertemuan tersebut.

“Jawatankuasa khas akan mula mengadakan mesyuarat segera bagi mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan.

"Selepas Itu baru menteri dari empat kementeian ini bermesyuarat semula," katanya.

Salahudin yang juga timbalan presiden Amanah berkata antara isu utama yang dikenal pasti memberi kesan daripada kegiatan pendatang asing tersebut ialah kenaikan harga barang, pengambilan laba berlebihan oleh orang tengah, keselamatan, persaingan dengan peniaga tempatan dan kesan kepada pengguna serta petani, penternak dan nelayan.