Paling Popular
Terkini

Wakil rakyat Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman mengaku beliau menyertai protes terhadap bekas perdana menteri Najib Razak di Kuala Selangor semalam.

“Ya benar itu kereta saya dan ia mengandungi plakad dan karikatur badut yang dibawa sewaktu protes itu dijalankan,” kata Mustain kepada Malaysiakini.

 Najib pagi ini berkata beliau melihat kereta Mustain diletakkan berdekatan tempat protes ketika melawat kawasan tersebut.

“Saya diberitahu bahawa kenderaan yang digunakan beberapa orang untuk buat provokasi semasa saya bersarapan pagi adalah milik DUN PH Sabak Bernam Ustaz Ahmad Mustain bin Othman.

“Apa kesalahan saya bersarapan pagi di kawasan DUN Tuan Haji,” kata Najib menerusi tulisan di Facebook pagi tadi.

Sementara itu, Mustain berkata protes itu dilakukan atas kata sepakat ahli Pakatan Harapan (PH) Sabak Bernam, bukan keputusan peribadinya.

“(Protes) bukan atas arahan saya, itu adalah keputusan semua ahli PH Sabak Bernam,” tambahnya.

Mustain juga menambah bahawa protes itu dilakukan selepas Najib beredar.

“Kami telah dihalang oleh pihak polis dan membenarkan melakukan protes selepas Najib pulang sahaja,” jelas Mustain.

Lihat Komen
ADS