Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar gurau mungkin ada penghuni baru di penjara Sg Buloh

PRK RANTAU | Penjara Sungai Buloh mungkin mendapat penghuni baru, seloroh Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas diberitahu sel yang pernah mengurungnya dahulu masih lagi kosong.

Menurut Anwar pegawai penjara Sungai Buloh menyampaikan perihal bilik kurungan yang pernah dihuninya itu ketika mereka berkunjung ke rumahnya.

"Saya mengajak hampir 250 pegawai-pegawai penjara Sungai Buloh untuk makan malam ke rumah saya. Ketika itu, saya tanya bilik penjara saya masih kosong tak, mereka kata masih kosong.

"Saya minta mereka supaya membersihkan bilik itu kerana mungkin ada penghuni baru," kata Anwar secara berjenaka ketika berucap malam tadi pada majlis ceramah kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.

Gurauan Anwar dibalas sorakan "bossku" oleh hadirin majlis ceramah PH di Kampung Pasir, Linsum, Rantau.

Malu Apa Bossku merupakan jenama kempen penyokong bekas perdana menteri, Najib Razak selepas BN kehilangan kuasa buat kali pertama setelah memerintah selama enam dekad pada pilihan raya umum Mei tahun lalu.

Najib kini berhadapan 42 tuduhan jenayah di mahkamah, yang mana sepuluh pertuduhan membabitkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Tuduhan itu termasuklah tiga dakwaan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta, jenayah pecah amanah, dan penyalahgunaan kuasa.

Menjelaskan lanjut Anwar berkata keputusan menghukum individu yang dituduh di mahkamah bukan berada di tangannya.

"Saya tidak boleh membuat keputusan. Kita ada mahkamah untuk membuat keputusan," katanya lagi.

PRK Rantau yang akan diadakan pada 13 April ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon BN, Mohamad Hasan, calon PH, Dr S Streram dan dua calon bebas iaitu bekas pensyarah Mohd Nor Yassin dan suri rumah R Malarvizhi.

Ia berikutan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan kemenangan Mohamad bagi kerusi DUN itu pada PRU14 lalu sebagai tidak sah dan terbatal.

Beratur nak pergi mahkamah

Sementara itu, Anwar yang juga MP Port Dickson berkata Umno tahu kekuatan PH sukar dilawan.

"Umno sudah tahu mereka tidak boleh lawan. Ini ketua-ketua (Umno) sudah beratur nak pergi mahkamah. 

"Lepas itu ke mana?" Soal Anwar yang dijawab hadirin: "Sungai Buloh."

Anwar juga berkata Malaysia milik semua kaum dan negara tidak akan selamat dengan fahaman yang dibawa Umno dan PAS.

"Jadi, saya minta pengundi Rantau untuk memilih calon yang baik sebaliknya bukan pencuri.

"Ini PRK kecil. Tapi isunya besar. Nak serah kepada Umno-PAS kalau tidak sokong PH, saya percaya negara ini tak akan selamat dengan fahaman mereka," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS