Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu perlu di Sabah untuk bantu laksana reformasi

Meraih sokongan rakyat Sabah amat penting, terutamanya apabila PH perlu memperkukuhkan kedudukannya bagi menghadapi Umno, kata Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen.

Menganggap Sabah sebagai faktor yang sangat penting dalam politik Malaysia, Mohd Rafiq berkata, ia adalah salah satu sebab utama mengapa Bersatu bersetuju menubuhkan cawangan mereka di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Dia berkata dengan adanya sokongan yang kukuh terhadap Bersatu, secara tidak langsung sokongan kepada Umno dan BN akan semakin goyah.

“Gabungan antara Umno dan PAS ini sebenarnya perlu kita perhalusi dari segi impaknya kepada politik negara.

“Itu kita tidak dapat nafikan, di sesetengah tempat majoriti Melayu, nampaknya kerjasama Umno and PAS memberi kesan kepada PH.

“Tanpa Sabah dan Sarawak…. dengan keluarnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu dari BN serta lumpuhnya Umno di Sabah, (Bersatu Sabah) akan menjadi faktor penting (kepada PH)," katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.

Untuk rekod Bersatu akan ditubuhkan secara rasmi di Sabah dalam satu majlis yang akan dihadiri pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad esok.

Mohd Rafiq juga menjanjikan "kejutan" pada pelancaran tersebut.

Hadkan tempoh PM

Pada asalnya wujud rasa kurang senang dengan rancangan membawa Bersatu ke Sabah kerana di negeri itu sudah ada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang diketuai bekas naib presiden Umno Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie adalah salah seorang watak penting - selain Mahathir, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir - dalam siri kritikan dalaman terhadap Najib Razak suatu ketika dulu.

Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz kemudian menubuhkan Bersatu, manakala Mohd Shafie mengasaskan Warisan bagi menghadapi BN dalam PRU ke-14 tahun lalu.

Mohd Rafiq berkata dengan sokongan terhadap Umno semakin berkurangan di Sabah dan Sarawak, hampir mustahil untuk parti itu bangkit semula seperti sebelum 9 Mei 2018.

Katanya satu lagi sebab mengapa Bersatu menjejakkan kaki di Sabah ialah untuk memperkuatkan kuasa PH di peringkat negeri dan persekutuan.

“Apa yang kita mahu lihat adalah Warisan dapat diperkukuhkan lagi di negeri Sabah dan rakan-rakan PH termasuk Bersatu dapat menyumbang kepada memperkukuh kerajaan negeri,” katanya.

Menurut Mohd Rafiq lagi, penubuhan Bersatu di Sabah juga merupakan strategi untuk membantu PH mendapat majoriti dua per tiga di Parlimen

Katanya penguasaan itu diperlukan untuk memudahkan PH menunaikan janji pembaharuan mereka kepada rakyat apabila membabitkan pindaan perlembagaan.

“Kerana ada proses reformasi seperti mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri selama dua penggal serta perkara-perkara lain memerlukan pindaan perlembagaan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS