Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin beri bayangan Bersatu Sabah diketuai Adun bekas Umno

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memberi bayangan bahawa Bersatu Sabah yang dilancarkan hari ini akan diketuai oleh bekas pengerusi Umno Sabah, Hajiji Noor.

Perkara itu didedahkan Muhyiddin dalam ucapannya di majlis pelancaran parti itu di Penampang, tengah hari tadi.

“Hari ini akan umumkan nama-nama (pemimpin Bersatu Sabah), terutama mereka yang akan menjadi penggerak utama.

“Saya nak bagi sedikit gambaran, kerana majlis hari ini dipengerusikan, tak lain tak bukan (oleh) Hajiji Noor, maka tak harus jadi teka-teki siapa yang akan jadi ketua badan pimpinan negeri,” katanya disambut sorakan hadirin pada majlis tersebut.

Sementara itu, pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya, mengumumkan Hajiji sebagai penyelaras untuk perluasan Bersatu ke negeri di Malaysia Timur.

Dalam sidang media selepas majlis pelancaran tersebut, perdana menteri memberitahu pemberita, Hajiji ditugaskan untuk memastikan penubuhan Bersatu di Sabah mengikut perlembagaan parti.

“Kita akan ada pemilihan (parti) di peringkat bahagian-bahagian, sebab itu ketika ini Hajiji akan jadi penyelaras.

“(Dia ditugaskan untuk) susun Bersatu Sabah ini supaya ikut perlembagaan kita, dan memilih pemimpin-pemimpin dengan cara yang ditentukan dalam perlembagaan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu, Hajiji menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman menggunakan tiket Umno.

Bagaimanapun, dia keluar dari Umno Disember tahun lalu bersama 13 lagi Adun Sabah dan empat anggota parlimen, dua senator dan 21 ketua bahagian.

Ketika bercakap dalam sidang media, Hajiji memetik hala tuju parti yang tidak jelas sebagai sebab mereka keluar parti beramai-ramai.

Pada Februari, Hajiji bersama bekas Adun dan bekas anggota parlimen Umno yang lain dilaporkan menghantar borang permohonan untuk menyetai Bersatu.

Hajiji kemudiannya dilantik sebagai ketua penyelaras dalam usaha untuk menubuhkan Bersatu di Sabah. 

Lihat Komen
ADS