Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK RANTAU | Negeri Sembilan kaya dengan sumber asli, pertanian dan perindustrian namun negeri itu masih miskin akibat pentadbiran kerajaan terdahulu, dakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Ini Negeri Sembilan kaya. Balak ada, biji timah ada, getah ada, minyak ada, gas ada, kelapa sawit ada tapi negeri miskin. Apa pasal? Semuanya dicuri, mana cukup?

"Jadi, saya hairan jika masih ada (pengundi) nak sokong Umno-PAS. Saya mahu sokongan kukuh kepada PH. 

"Baru 10 bulan PH jadi kerajaan. Jangan patah balik," katanya ketika berucap di Majlis Malam Kebudayaan India bersama Anwar Ibrahim di Dewan Orang Ramai, Taman Angsamas malam tadi.

Kira-kira 300 orang, majoritinya kaum India hadir dalam majlis berkenaan.

Untuk rekod calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, Dr S Sterem akan menentang calon BN, Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan selama tiga penggal, di samping dua lagi calon bebas.

Mohamad sebelum ini berkata meskipun terdapat pihak tertentu mengatakan beliau tidak berbuat apa-apa untuk pembangunan di Negeri Sembilan, namun rakyat di negeri itu sendiri tahu sumbangan yang telah dibuat beliau selama ini.

Sementara itu Anwar yang dinamakan sebagai bakal pengganti perdana menteri turut memberi amaran bahawa PRK pada 13 April ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua kaum.

"Di PH kita ada PKR, DAP, Bersatu dan Amanah. Kita Melayu, India, Cina Kadazan dan Iban semua bersatu. Kalau kita beri negeri ini kepada Umno dan PAS, kalau mereka pakat, kita nak pergi mana?

"Kita tak boleh pandang ringan PRK ini walaupun ini PRK kecil.

"Yang penting negeri ini semua kaum rasa bangga. Tak ada masyarakat kelas pertama dan kedua," tegasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah calon PH, Dr S Streram dan pemimpin-pemimpin dalam gabungan itu.

Sementara itu, Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson berjanji kawasan parlimen itu akan bekerjasama dengan Rantau dalam menaik taraf kehidupan penduduk.

"Saya ahli parlimen Port Dickson. Sebelah saja dengan Rantau. Sekarang PD ada banyak projek pembangunan. Kalau PH menang, Rantau kita masuk Rantau sekali."

"Saya lebih mudah bekerja dengan Streram berbanding orang lain," katanya.

PRK Rantau diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen yang difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengumumkan kemenangannya bagi kerusi itu pada 14 Mei lalu tidak sah.

 

Lihat Komen
ADS