2 ditahan menyamar polis, samun warga Bangladesh
Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita, semalam, kerana menyamar sebagai anggota polis dan menyamun seorang lelaki rakyat Bangladesh di Taman Desa Cemerlang, Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata lelaki berumur 32 tahun itu ditahan di rumah sewanya di Taman Puteri Wangsa, pada 3.30 petang manakala wanita berumur 30 tahun pula ditahan di tepi Jalan Gemilang, Taman Desa Cemerlang, waktu yang sama.
“Penahanan kedua-dua rakyat tempatan itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada lelaki warga Bangladesh tersebut yang mendakwa disamun kedua suspek menaiki sebuah motosikal, kira-kira 12.30 malam, semalam.
“Mangsa (lelaki warga Bangladesh) yang berusia 24 tahun dan bekerja di sebuah kilang di Pasir Gudang mendakwa ketika itu dia sedang berjalan kaki di kawasan perumahan berkenaan sebelum ditahan oleh kedua-dua suspek yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu mengarahkannya mengeluarkan passport bagi pemeriksaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ismail berkata suspek lelaki kemudian membawa mangsa ke kawasan taman permainan berhampiran lalu memukul dan melarikan telefon bimbit milik mangsa.
Beliau berkata siasatan mendapati lelaki dan wanita berkenaan merupakan rakan dan pihaknya turut merampas motosikal yang digunakan mereka serta telefon bimbit milik mangsa.
Katanya permohonan untuk perintah reman kedua-duanya dilakukan hari ini bagi membantu siasatan mengikut Sesyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun dan Sesyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
- Bernama

