Paling Popular
Terkini

Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah menggambarkan setiap kali musim pilihan raya kecil (PRK) akan ada pihak yang menyerang parti itu dengan isu tertentu walaupun PAS tidak bertanding.

Katanya, bila ada PRK DUN Rantau kini timbul pula cerita mengenai PAS yang tak habis-habis lagi.

"Selalu kita ikuti bila ada PRK, timbul cerita duit RM90 juta, RM1.4 juta. Selepas pilihan raya senyap. Bagi saya ini isu pilihan raya..

"Saya pun hairan sebab PAS tak bertanding di Cameron Highlands, Semnyih, dan Rantau.

“Tapi tiba-tiba PAS jadi sasaran," katanya.

Beliau ditanya mengenai laporan Malaysiakini berhubung dakwaan wujud perjumpaan lima wakil PAS dan tokoh korporat, Rameli Musa untuk berbincang mengenai bayaran penyelesaian saman RM1.4 juta dengan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown.


Baca: 'Hadi memang tak tahu bayaran penyelesaian dengan Sarawak Report'


Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu menurut sumber, semua urusan dari awal perbincangan hanya dijalankan oleh lima individu berpengaruh dalam PAS yang menggunakan Rameli sebagai orang tengah.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan kemudiannya mengakui beliau antara pihak yang berbincang dengan Rameli, namun hanya terlibat dalam perbincangan umum dan tidak tahu menahu berkaitan dakwaan Rameli membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown bagi menyelesaikan saman itu. 


Baca: 'Memang bincang dengan Rameli, tapi pasal bayaran saya tak tahu'


Sementara itu Mohd Amar menegaskan beliau juga tidak mengetahui berhubung perkara yang dilaporkan Malaysiakini kerana daripada awal lagi tiada perbincangan untuk bayar kepada Clare.

"Penyelesaian kita sebagaimana dicatat dalam mahkamah, tiada kos.

“Itu jelas pendirian kita, kalau cerita Malaysiakini keluarkan, merekalah keluarkan bukti-bukti.

"Bagi saya bila ada PRK timbul cerita duit, saya pun tak tahu. Sebab itu saya kata orang marah pada PAS, benci tapi rindu. Tak boleh kalau tak sentuh, tak komen PAS.

"Sedangkan di parlimen kita parti kecil saja, di parlimen ada 18 kerusi. Sepatutnya orang tak peduli pasal PAS, tapi hari ini semua orang bercakap dan komen tentang PAS," katanya.

Lihat Komen
ADS