PM: Amerika patut tutup Guantanamo Bay
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata adalah lebih baik bagi Amerika Syarikat menutup pusat tahanan Guantanamo Bay di Cuba kerana ia menyerupai satu tempat penyeksaan.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata adalah lebih baik bagi Amerika Syarikat menutup pusat tahanan Guantanamo Bay di Cuba kerana ia menyerupai satu tempat penyeksaan.
Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata Amerika Syarikat sendiri telah mengakui kesalahan-kesalahan yang dilakukan terhadap tahanan di situ.
"Pendapat banyak pihak mengatakan penjara ini tidak patut dan tidak elok diteruskan dan elok ditutup kerana gambar-gambar dan cerita mengenainya itu lebih membayangkan ia (penjara) sebagai satu tempat di mana penyeksaan dilakukan secara rahsia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kelas Bimbingan Sijil Pelajaran Malaysia dan Tabung Bangunan Yayasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung di Melaka hari ini.
Beliau diminta mengulas saranan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu agar pusat tahanan itu ditutup tetapi Amerika Syarikat masih enggan dan memberi pelbagai alasan.
"Sekarang sudahpun terdedah dan pihak Amerika sendiri telah mengakui kesalahan-kesalahan itu tetapi nampaknya semakin menmjadi-jadi. Sepatutnya apabila perkara ini menjadi heboh, tidaklah ada lagi.
"Lebih baik bagi Amerika sekiranya ia ditutup," kata Abdullah.

