Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Janji manifesto: PM 'keliru' perlu cepatkan proses atau tidak

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata beliau "keliru" sama ada pentadbirannya perlu memperlahankan atau mempercepatkan usaha menunaikan janji pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa anggota parlimen agar rang undang-undang (RUU) untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak dirujuk ke jawatankuasa terpilih parlimen dahulu.

"Hampir setahun sejak kita jadi kerajaan, dan ramai orang tanya kenapa kita tak buat perkara ini dan itu?

"Apabila kita buat cepat, mereka kata kita tak boleh tergesa-gesa. Jadi kita sangat keliru sama ada perlu cepat atau lambat

"Boleh kami lakukan dengan lambat? Atau perlu percepatkan proses?" soalnya ketika sidang media di Parlimen hari ini.

RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2019 gagal diluluskan selepas bacaan kedua semalam selepas tidak mendapat majoriti dua pertiga dalam undian semalam.

RUU itu bertujuan mengembalikan Perkara 1(2) seperti pada 1963, yang dikatakan untuk mengiktiraf status Sabah dan Sarawak berkedudukan sama dengan negeri-negeri Malaya secara keseluruhan.

Walaupun 138 anggota parlimen menyokong RUU itu dan tiada yang membantah, kerajaan masih kekurangan sepuluh undi kerana 59 anggota parlimen berkecuali.

RUU itu ditolak selepas dibahaskan oleh 46 anggota parlimen selama tujuh jam.

Ketika perbahasan, Anggota Parlimen Santubong dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengusulkan agar RUU itu dirujuk ke jawatankuasa terpilih parlimen.

Sejumlah 136 anggota parlimen menolak usul itu dan hanya 60 yang menyokong.

Ketika ucapan penggulungan bagi perbahasan peringkat dasar, Mahathir berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS