Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa kerana tiada sebarang perubahan dibuat dalam dasar pemberian Permit Import (AP) kenderaan walaupun beliau telah mendedahkan beberapa penyalahgunaan mengenainya.

"Saya kecewa, itulah yang boleh dikatakanpun, apa lagi nak kata sebab dasar masih macam tu juga," katanya selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk "Membangun Negara" anjuran Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang hari ini.

Dr Mahathir, yang juga Penasihat Proton berkata, beliau difahamkan setakat ini masih terdapat "dua orang" yang memegang AP dengan jumlah yang banyak dan mana-mana pihak yang mahu mengimport kenderaan, terpaksa merujuk kepada "dua orang" itu kerana mereka telah mempunyai perjanjian sebagai pembekal kereta import.

"Kenapa hampir 80 peratus AP masih diberi kepada orang yang sama, orang yang kita dah tegur itu, sedangkan telah berlaku penipuan mengenai AP apabila harga kenderaan yang dibawa masuk itu telah direndahkan bagi tujuan pengurangan cukai," katanya.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata jika dasar pemberian AP seumpama itu diteruskan, Proton akan kehilangan agihan pasaran dan mungkin cuma menguasai antara 10 peratus dan 20 peratus di negara sendiri.

Isu AP mencetuskan kontroversi tahun lepas selepas sesetengah pihak mempertikaikan kaedah pelaksanaan pemberiannya.

Mengenai pengurusan Proton yang baru, Dr Mahathir berkata sebenarnya pengurusan syarikat pengeluar kereta nasional itu tidak pernah meminta nasihat daripada beliau walaupun beliau dilantik sebagai penasihat.

Beliau juga kesal dengan tindakan Proton menamatkan kontrak bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sedangkan Proton mencapai kejayaan yang baik semasa di bawah pengurusan Tengku Mahaleel.

"Saya cuma dimaklumkan sahaja selepas mereka membuat keputusan termasuklah keputusan menjual saham pengeluar motosikal MV Agusta dan menamatkan kontrak Tengku Mahaleel," katanya.

Ditanya kenapa pengurusan Proton tidak meminta nasihat beliau sebelum membuat sebarang keputusan, Dr Mahathir berkata: "Saya pun pelik. Sebagai penasihat, saya yang dinasihat, dan mungkin mereka beranggapan untuk memaklumkan kepada saya mengenai sesuatu keputusan itu adalah dimaksudkan meminta nasihat."

Kepada soalan kenapa beliau masih memegang jawatan sebagai penasihat jika beliau tidak diminta memberi sebarang nasihat, Dr Mahathir berkata: "Saya ini mudah...orang lantik kita terimalah."